suria

Malaysia Mampu Raih Pingat Emas Badminton Di CYG2011

KUALA LUMPUR: Atlet remaja negara dalam acara badminton di temasya Sukan Belia Komanwel 2011 (CYG2011) di Isle of Man, United Kingdom mampu menghadiahkan pingat emas buat Malaysia.

"Badminton memastikan kecemerlangan dalam Sukan Belia Komanwel keempat di sini dengan lima penampilan di perlawanan akhir, sekaligus menjanjikan enam pingat untuk kontinjen negara.

"Tidak terkecuali, jika semua perancangan menjadi, lapan pingat boleh di bawa pulang kerana peserta Malaysia turut beraksi dalam penentuan pingat gangsa acara beregu campuran dan perseorangan wanita," kata ketua kontinjen Malaysia ke CYG2011 Rosmanizam Abdullah dalam kenyataan di sini Ahad.

Acara badminton temasya CYG2011 itu berlangsung di Pusat Sukan Nasional Douglas.

Pingat emas pertama Malaysia telah dipastikan dalam acara beregu wanita, apabila pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean akan bertemu rakan sepasukan, Sonia Cheah-Yang Li Lian pada perlawanan akhir.

Peluang Malaysia juga terletak di bahu pemain perseorangan lelaki Zulfadli Zulkifli yang akan menentang Sameer Verma dari India manakala Sonia akan menentang Pusaria Sindhu dari India pada perlawanan akhir perseorangan wanita.

Pasangan Nelson Heg-Teo Ee Yi dalam acara beregu lelaki juga berpeluang meraih pingat emas apabila mara ke peringkat akhir, di mana mereka akan bertemu Ryan McCarthy-Tom Wolfenden dari England.

Malaysia turut mara ke peringkat akhir acara beregu campuran melalui Teo Ee Yi-Chow Mei Kuan, yang akan bertemu Srikanth Kidambi-Maneesha Kukkapalli dari India.

Selain badminton, Malaysia juga mengambil bahagian dalam acara olahraga, berbasikal dan akuatik (renang).

Pada edisi 2008 di Pune, India, kontinjen negara meraih tiga emas, lima perak dan empat gangsa. Dua daripada tiga pingat emas di India itu disumbangkan acara badminton dan satu daripada acara menembak. - BERNAMA

Artikel Berikut

AC Milan Sekadar Seri Dengan Lazio

Artikel Lain