suria

Sukan Belia Komanwel: Skuad Badminton Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Misi skuad badminton negara untuk menghadiahkan pingat kepada kontinjen negara pada temasya Sukan Belia Komanwel ke-4 di Isle of Man, United Kingdom semakin hampir apabila kesemua pemain layak ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung, Sabtu.

Pilihan utama perseorangan lelaki Zulfadli Zulkifli layak ke suku akhir selepas menewaskan Tholego Chamo dari Botswana dengan straight set 21-9, 21-8 pada pusingan ketiga dan akan bertemu Pratu Joshi dari India.

Seorang lagi pemain negara, Soong Joo Ven bakal menentang pilihan kedua, Sameer Verma dari India selepas memperoleh kemenangan mudah ke atas pemain Maldives Mohamed Shabin 21-1, 21-1.

Zulfadli yang berpasangan dengan Joo Ven cemerlang sekali lagi apabila melakukan kejutan dalam acara beregu dengan menewaskan pilihan kedua, Daniel Font-Oliverr Gwilt dari Wales dengan mudah 21-9, 21-11 untuk berdepan regu tuan rumah Ryan McCarthy-Tom Wolfenden dalam saingan suku akhir.

Bagi acara perseorangan wanita, kedua-dua pemain negara, Sonia Cheah dan Yang Li Lian berjaya melangkah ke pusingan suku akhir selepas masing-masing menumpaskan Saili Rane dari India dengan 21-7, 21-10 dan pemain Sri Lanka Achini Rathnasari dengan 10-21, 21-16, 24-22.

Empat lagi pasangan mara ke suku akhir ialah Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta Sonia Cheah-Yang Li Lian dan Nelson Heg-Lee Meng Yean serta Teo Ee Yi-Chow Mei Kuan dari acara beregu campuran.

Sementara itu, kecemerlangan skuad badminton negara tidak mampu diikuti pasukan berbasikal apabila gagal mencatatkan masa yang baik dalam acara ujian masa 7.5 kilometer di Litar Promenade di sini.

Ketua Kontinjen Malaysia Rosmanizam Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini berkata pasukan negara hanya mampu menduduki tangga ke-6 bagi kategori wanita, manakala acara lelaki sekadar di tangga ke-11.

"Bagi kategori wanita, Ju Pha Som Net dan Nurul Nadia Fauzi masing-masing sekadar menduduki tangga ke-16 dan 17, manakala Hamdan Hamidun dan Arfy Qhairant Amran hanya berjaya meraih kedudukan ke-28 dan 33 daripada 45 pelumba secara keseluruhannya," katanya.

Pelumba tuan rumah, Hannah Barnes merangkul emas untuk mengungguli acara wanita, manakala bagi kategori lelaki, emas diraih pelumba Australia, Alex Morgan.

Dalam acara berpasukan pula, Australia di tangga pertama bagi kategori lelaki dan England cemerlang dalam kategori wanita.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain