suria

Kelab Penyokong Perak Bantah FAM Gantung Lima Pemain

IPOH: Kelab Peminat Bolasepak Perak (KPBP) akan mengumpul 5,000 tandatangan sebagai membantah keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengekalkan hukuman penggantungan ke atas lima pemain pasukan Perak.

Presidennya Abd Jamil Othman berkata usaha mengumpul tandatangan itu akan dimulakan semasa perlawanan kedua siri Piala Malaysia apabila Perak menentang Johor di Stadium Perak di sini Sabtu ini.

"Saya minta semua peminat turun menyaksikan perlawanan ini serta menurunkan tandatangan bagi memberi sokongan kepada pasukan kita. "Kami yakin akan jumlah ini akan dicapai sebelum tamat perlawanan sebagai bantahan kepada tindakan jawatankuasa tersebut," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Abd Jamil berkata KPBP memutuskan untuk menyuarakan bantahan itu kerana jawatankuasa disiplin FAM sebelum ini tidak mempertimbangkan rayuan Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) dan lima pemain berkenaan. Beliau berkata usaha mengumpul tandatangan akan turut dilakukan pada 13 dan 17 Sept depan ketika perlawanan menentang Kedah dan Sabah yang juga berlangsung di Stadium Perak.

"KPBP akan menghantar tandatangan bantahan tersebut kepada FAM untuk menunjukkan bahawa para penyokong Perak tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

"Kami berharap FAM berilah sedikit pertimbangan kepada rayuan Pafa dan kelima-lima pemain berkenaan," katanya.

Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan hukuman gantung tujuh perlawanan dan denda RM4,000 setiap pemain ke atas lima pemain utama Perak kerana melawan keputusan pengadil dalam perlawanan Liga Super.

Ketua pasukan Shahrulnizam Mustapa bersama-sama penjaring terbanyak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli; penjaga gol, Mohd Nasril Nourdin; pemain tengah, Mohd Syazwan Roslan; dan Azmeer Yusoff digantung tujuh perlawanan serta didenda sebanyak RM4,000 pada 18 Julai lalu.

Keputusan mengekalkan hukuman dalam mesyuarat minggu lepas menyebabkan kelima-lima pemain itu tidak dapat beraksi dalam lima perlawanan awal peringkat kumpulan mulai 10 Sept ini termasuk kedua-dua perlawanan pusingan pertama dan kedua sekiranya pasukan layak ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, Setiausaha Pafa Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata pihaknya telah membuat rayuan memohon pengurangan hukuman gantung tujuh perlawanan terhadap lima pemain terbabit.

"Kita telah hantar rayuan kepada FAM pagi tadi dan berharap agar rayuan tersebut dapat dipertimbangkan dengan sebaik mungkin oleh Jawatankuasa Rayuan FAM. Pafa akur dengan penggantungan dan denda yang dikenakan, namun kita merayu agar dapat dipertimbangkan semula oleh FAM dengan mengurangkan tempoh penggantungan perlawanan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tevez Bukan Lagi Kapten Man City

Artikel Lain