suria

Safee Serta Dua Pemain Import Jadi Taruhan Pasukan Selangor

SHAH ALAM: Penyerang kebangsaan Safee Sali dan dua pemain import antarabangsa dijangka menjadi taruhan pasukan Selangor untuk menentang Singapura pada Piala Sultan Selangor, 1 OktOBER ini di Stadium Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa kejohanan itu Datuk Abdul Karim Munisar berkata pihaknya akan meminta izin daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk membawa pulang Safee dari Kelab Pelita Jaya, Indonesia bagi mengukuhkan kekuatan The Red Giants itu.

Katanya pihaknya juga telah mengenal pasti dua orang pemain antarabangsa yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu setelah mendapat persetujuan bertulis daripada mereka.

"Gandingan pemain tempatan dan pemain import diharap akan berjaya membawa balik piala berprestij ini ke Selangor," katanya pada majlis minum petang di sebuah hotel di sini, Rabu.

Kali terakhir Selangor menjuarai kejohanan itu adalah pada 2008.

Dalam majlis yang turut dihadiri Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah itu, baginda menerima cek sumbangan berjumlah RM1.7 juta daripada pihak penaja, antaranya Benalec Sdn Bhd (RM300,000) Syabas (RM200,000) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (RM200,000).

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemain-pemain veteran termasuk Datuk Ghani Minhat, Datuk Soh Chin Aun, Datuk M.Chandran, Datuk Santokh Singh, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan.

Selain itu, kejohanan yang menyaksikan pertembungan antara pasukan Selangor dan Singapura itu, akan dimulakan dengan perlawanan antara pasukan veteran pada pukul 8 malam.

Perlawanan utama akan bermula pada 9.30 malam selain persembahan daripada artis tempatan Amy Search, pertunjukan bunga api dan payung terjun.

Tiket-tiket akan mula dijual Isnin ini dengan harga RM10 di Hotel Quality Shah Alam, Hotel Quality City Centre Kuala Lumpur, Hotel Concorde Shah Alam, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Pusat Beli-Belah SACC dan Stadium Shah Alam.

Promosi yang beli awal turut diadakan pada 12 September di Hotel Quality Shah Alam pada pukul 10 pagi hingga 3 petang.

Edisi ke-10 Piala Sultan Selangor kali ini turut diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-10 pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bahrain Tewaskan Indonesia 2-0

Artikel Lain