Osaki Ganti Iskandar Di Jepun - Sukan | mStar

Osaki Ganti Iskandar Di Jepun

PASUKAN Petronas Yamaha Malaysia melakukan perubahan radikal menggantikan Mohd Iskandar Raduan dengan pelumba Jepun pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS yang bakal berlangsung di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, Jepun pada 8 hingga 11 September ini.

Nobuyuki Osaki,40, menggantikan Iskandar dalam kategori SuperSports 600cc, memulakan karier sejak tahun 1991 berpengalaman luas setelah beraksi lebih dua dekad dalam pelbagai kelas seperti GP125, GP250, ST600 dan JSB1000.

Walau bagaimanapun Iskandar masih kekal dalam senarai pelumba pasukan PETRONAS Yamaha Malaysia.

Dia akan terus mendapatkan pendedahan di atas jentera berkuasa tinggi ini di dalam Malaysian Super Series (MSS).

Koordinator pasukan, Melvin Tan menjelaskan pertukaran itu dibuat bagi membolehkan pelumba utama, Mohd Zamri Baba menerima lebih banyak bantuan dengan gabungan kepakaran daripada pelatih, Youichi Ui dan juga Osaki.

“Kami menukarkan Iskandar dengan Osaki dengan objektif meningkatkan prestasi pasukan secara mendadak.

"Kami mahu membawa pulang keputusan yang baik di Jepun dan dengan kehadiran Osaki ke dalam pasukan, kami berharap untuk memenangi perlumbaan kali ini. Tugasnya adalah untuk membantu Zamri sekaligus membawa dia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Artikel Sebelum

Nor Farhan Yakin T-Team Mampu Pergi Jauh

Artikel Berikut

Pemain NS Diminta Kekal Konsisten

Artikel Berkaitan

default image

Keputusan Kelayakan Olimpik 2012

Artikel Lain