suria

Nasib Rexy Di Tangan Siapa?

ISU JURULATIH sekali lagi bergelora dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM)apabila timbul tanda tanya mengenai masa depan jurulatih utama pasukan elit negara, Rexy Mainaky yang kini telah 'disingkirkan' oleh anak buahnya sendiri, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Kien Keat-Boon Heong telah menyatakan hasrat mereka untuk berlatih dibawah bimbingan Pang Cheh Chang.

Itulah kuasa yang ditunjukkan oleh pemain-pemain sekarang dan haruskah pihak pengurusan mengikut kehendak pemain-pemain ini? Dan apa pula alasan kukuh mereka?

Nasib jurulatih dari Indonesia itu telah menjadi salah satu agenda perbincangan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang bermesyuarat Khamis bagi menentukan hala tuju dan masa depan Rexy.

Apa pun keputusan yang dibuat akan menggambarkan pendirian BAM sendiri dalam menangani isu yang dicetuskan oleh pemain mereka.

Ketika bertemu Rexy pada sesi latihan baru-baru ini, kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif sewaktu menjalani latihan, malah mereka dilihat bersungguh-sungguh mengikuti arahan yang diberikan jurulatih itu.

Malah Rexy sendiri dengan yakin mengatakan pasangan beregu ini mampu bangkit kembali mempamerkan taring mereka sedikit masa lagi. Jelasnya, hubungan kedua mereka dalam keadaan baik dan turut mengadakan perbincangan dari hati ke hati setiap kali sebelum dan selepas latihan ataupun perlawanan.

Mungkin benar, kebelakangan ini pasangan beregu negara itu sukar menjulang trofi kejuaraan, namun itulah yang perlu dilalui oleh seorang atlet.

Menurut Rexy, prestasi turun naik seseorang atlet itu adalah sesuatu yang mengecewakan tetapi mereka perlu mengambil iktibar dari setiap kekalahan dan membaiki kelemahan masing-masing dengan cara yang terbaik.

“Saya sedar mereka ini adalah antara atlet yang menjadi perhatian untuk meraih emas pada Sukan Olimpik tahun depan. Dan dalam pada itu juga, harapan peminat-peminat sukan badminton tanah air adalah tinggi untuk melihat mereka terus bergelar juara dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Seperti yang dijelaskan sebelum ini, aksi tidak konsisten mereka ini turut merisaukan saya, namun saya tidak terlalu memikirkan apa yang dikatakan oleh orang luar mengenai persembahan buruk mereka ini kerana saya tahu apa yang berlaku.

“Saya tidak mudah melatah. Apa yang jelas pada pemerhatian saya, situasi ini berlaku adalah disebabkan sikap pemain itu sendiri pada setiap perlawanan,” katanya.

Jadi akhirnya, ‘Diluah mati mak, ditelan mati bapak’ dan itulah situasi yang kini sedang dilalui oleh BAM. Jika dilihat kembali rekod, sepanjang Rexy membimbing pasangan ini, ia tidaklah seteruk mana kerana pasangan ini pernah menjuarai Sukan Asia 2006 dan Seluruh England 2007 dan beberapa lagi kejohanan terbuka.

Namun keputusan untuk bertukar jurulatih itu juga bakal melihat siapa yang lebih berpengaruh, sama ada pemain mahupun jurulatih itu sendiri.

Jika keputusan berpihak kepada pemain, ke mana pula hala tuju Rexy selepas ini?

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bahrain Tewaskan Indonesia 2-0

Artikel Lain