suria

Kejayaan Julang Piala FA Dorong Terengganu Sasar Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU: Juara Piala FA, Terengganu, berazam untuk meneruskan kecemerlangan itu dalam pertandingan bagi Piala Malaysia yang akan membuka tirainya esok.

Penolong pengurus pasukan Terengganu Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata keazaman itu berdasarkan kepada prestasi serta semangat pemain-pemain yang masih membara hasil kejayaan merangkul Piala FA.

"Kita mahu cemerlang dalam Piala Malaysia pula," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

Sheikh Tajudin, yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), berkata Terengganu telah membuat persediaan rapi daripada segi mental dan fizikal pemain-pemain.

Katanya persiapan itu penting kerana semua pasukan yang bertanding dalam kejohanan Piala Malaysia adalah pasukan terbaik dan masing-masing berazam kuat merangkul piala berprestij itu.

Sheikh Tajudin berkata bagi Terengganu, dengan barisan pemain yang mantap, inilah peluang terbaik menjuarai Piala Malaysia selepas memenanginya pada 2001.

Terengganu yang diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby akan memulakan kempennya menentang Sime Darby di tempat lawan.

Sheikh Tajudin berkata walaupun Sime Darby pendatang baru dan berstatus kelab, Terengganu tidak memandang rendah pasukan yang dijangka akan menjadi pencabar dalam kumpulan itu.

"Kita tidak mahu terperangkap dan ambil mudah walaupun Sime Darby baru pertama kali menyertai kejohanan ini," katanya.

Selepas ini, Terengganu akan melayani PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin di sini pada 10 September sebelum ke Negeri Sembilan pada 13 September ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Debaran Pelumba ARRC Di Autopolis

Artikel Lain