suria

Malaysia Sasar Tiga Pingat Pada Sukan Belia Komanwel

KUALA LUMPUR: Malaysia meletakkan sasaran 'realistik' untuk mengutip tiga pingat tanpa mengira warna pada temasya Sukan Belia Komanwel ke-IV yang berlangsung mulai 8 hingga 12 September ini di Isle of Man.

Malaysia akan beraksi dalam empat daripada tujuh acara yang dipertandingkan pada temasya sukan atlet di bawah 18 tahun dari 69 negara, iaitu badminton, berbasikal, renang dan olahraga.

Ketua kontinjen negara Rosmanizam Abdullah berkata Malaysia menetapkan sasaran yang rendah kali ini kerana acara kegemaran seperti angkat berat tidak dipertandingkan.

"Walaupun ia merupakan sasaran paling rendah berbanding pada temasya sebelum ini, sebarang janji perlulah realistik pada waktu penyertaan," katanya kepada pemberita selepas menerima Jalur Gemilang daripada Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia Datuk Sieh Kok Chi di Wisma OCM, Isnin.

Beliau juga berkata prospek pingat kini diletakkan dalam sukan badminton menerusi acara perseorangan lelaki dan beregu wanita.

Harapan pungutan pingat turut disandarkan pada juara remaja lelaki Asia, Zulfadli Zulkifli serta pemenang perak iaitu beregu wanita Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean kerana mereka diramal mampu menggugat lawan dari India dan England.

Malaysia juga akan menurunkan atlet berbasikal yang mengukir 'nama' dalam acara trek seperti pemenang empat pingat perak bagi kategori remaja wanita pada Kejohanan Berbasikal Asia di Korat, Thailand, Februari lepas iaitu Ju Pha Som Net, dan pemenang pingat emas acara 200m pecut remaja lelaki kejohanan sama, Muhd Arfy Qairant Amran, bagi acara lebuh raya.

Pada temasya edisi Edinburgh, Scotland tahun 2000, Malaysia merangkul satu emas, tiga perak dan empat gangsa manakala pungutan terbanyak ialah di Bendigo, Australia (2004) dengan enam emas, sembilan perak serta tiga gangsa.

Di Pune, India pada 2008 pula menyaksikan kontinjen Malaysia meraih tiga emas, lima perak dan empat gangsa.

Edisi kali ini, yang sepatutnya diadakan tahun depan, dipercepatkan oleh Persekutuan Sukan Komanwel agar tidak berlangsung pada tahun yang sama dengan Sukan Olimpik.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain