suria

KLRC Ikat Zakry dan Fairuzizuan Setahun

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu badminton negara Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Tazari kini secara rasmi menyertai kelab profesional Kuala Lumpur Rackets Club (KLRC) bagi kontrak setahun.

Mohd Zakry dan Mohd Fairuzizuan membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di yang diadakan pada Ahad sempena Rumah Terbuka KLRC, sekaligus menamatkan teka-teki haluan pasangan itu setelah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lepas.

Simbolik kepada penyertaan mereka ke kelab profesional tersebut hari ini, Mohd Zakry, 29, dan Mohd Fairuzizuan, 28, telah menyarung baju rasmi KLRC pada majlis tersebut. Turut hadir pada majlis itu ialah pemilik KLRC Datuk Seri Andrew Kam.

Mohd Zakry berkata mereka gembira diterima untuk bernaung di bawah KLRC bagi membolehkan mereka membuat perancangan untuk masa depan mereka dalam sukan itu.

"Sekarang perancangan kami lebih jelas untuk memungut mata melayakkan diri ke Olimpik. Kami akan mulakan misi pertama dengan kejohanan Grand Prix (GP) Emas Terbuka Indonesia pada 27 Sept hingga 2 Okt," katanya.

Pasangan itu telah mengemukakan permohonan untuk keluar daripada BAM pada 17 Ogos lepas kerana merasakan sudah sampai masanya untuk memberi peluang kepada pemain baru, selain faktor umur mereka yang semakin meningkat.

Mohd Zakry menegaskan bahawa hubungan mereka dengan badan induk badminton itu tetap baik walaupun sudah meninggalkan BAM.

Berikutan dengan kontrak bersama KLRC itu, Mohd Zakry berkata KLRC akan menanggung semua perbelanjaan bagi pasangan itu menyertai kejohanan yang mereka pilih.

Katanya mereka telah menyenaraikan lapan kejohanan antarabangsa untuk disertai pada tahun ini termasuk Grand Prix (GP) Emas Terbuka Indonesia di bawah kendalian jurulatih Razif Sidek.

"Saya dan Fairuzizuan akan cuba mendapatkan keputusan terbaik di setiap kejohanan. Melalui kejohanan pertama ini, kami menyasarkan untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, Andrew Kam berkata beliau memberi peluang kepada beregu ini kerana yakin dengan kemampuan yang ada pada mereka.

"KLRC menyediakan platform yang boleh membantu mereka mencapai cita-cita ke Olimpik. Memang menjadi polisi kami membantu individu berbakat dan mengembangkan komitmen dalam sukan dengan menaja pemain remaja dan senior.

"Saya yakin pasangan ini masih berbakat dan berpotensi besar membuat kejutan," katanya.

Selain Mohd Zakry dan Mohd Fairuzizuan, antara yang turut bernaung di bawah kelab profesional KLRC itu ialah pemain perseorangan negara Mohammad Hafiz Hashim dan pemain perseorangan K.Yogendran.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain