suria

Kejohanan Ragbi Borneo Sevens Dijangka Sengit

PETALING JAYA: Kejohanan ragbi Borneo Sevens, yang akan berlangsung di Stadium Likas di Kota Kinabalu dari 23 hingga 25 September ini dijangka menerima sengit untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Asia Seven Series - Hong Kong 7s tahun depan.

Presiden pasukan Kesatuan Ragbi Sabah (SRU) Velayuthan Tan berkata 12 pasukan kebangsaan terbaik Asia akan bertanding pada kejohanan tahunan itu iaitu Brunei, China, Taiwan, Jepun, Kazakhstan, Korea Selatan, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong dan Malaysia.

Beliau berkata edisi ketiga Borneo Sevens, telah dinaiktaraf sebagai pusingan kedua HSBC Asia Seven Series, satu daripada hanya dua acara di Litar Asia yang membolehkan pasukan mengumpul mata untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij Piala Dunia Seven Series di Hong Kong.

"Yang lain ialah Shanghai Sevens yang berlangsung pada 27 hingga 28 Ogos.

Oleh itu pasukan yang bertanding dalam Borneo Sevens akan merebut kedudukan teratas memandangkan pengiraan mata diambilkira bagi pasukan yang bertanding untuk melayakkan diri," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Tan berkata walaupun dua pasukan yang layak ke peringkat akhir tahun lepas, Hong Kong dan Jepun dijangka menguasai kedudukan teratas, mereka masih perlu mengenepikan banyak pasukan yang bersaing untuk mendapatkan mata, termasuk Malaysia.

Beliau berkata pasukan kebangsaan yang menamatkan kejohanan pada kedudukan kelima tahun lepas yakin dapat memperbaiki kedudukan dan prestasi mereka tahun ini.

Malaysia kini berada pada tempat keenam dalam kedudukan HSBC Asian Sevens Series.

Borneo Sevens juga akan menyaksikan pertandingan ragbi wanita Asia Pasifik Sevens yang akan disertai lapan pasukan termasuk China, Kepulauan Cook, Hong Kong, Papua New Guinea, Samoa, Singapura, Tonga dan Malaysia.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain