suria

Skuad Futsal Persiapkan Diri Hadapi Tiga Kejohanan Penting Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Skuad futsal kebangsaan kini gigih menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi tiga kejohanan penting dalam kalendar futsal Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Jurulatih skuad Maizal Hairi Marzuki berkata tiga kejohanan tersebut iaitu Sukan SEA pada November di Indonesia, Pusingan Kelayakan Zon Asean Kejuaraan Futsal Asia 2012 di Bangkok, Thailand dari 26 Nov hingga 1 Dis dan Kejuaraaan Futsal AFF di Indonesia pada Disember.

"Latihan pusat sejak 7 Ogos lepas diadakan di Kompleks Sukan Triways, Padang Jawa, Shah Alam, melibatkan 24 orang pemain," katanya kepada Bernama.

Maizal berkata sebelum beraksi pada ketiga-tiga kejohanan penting itu, skuad yang dibentuk itu akan menyertai satu kejohanan jemputan di Vietnam pada September.

Maizal berkata skuad menetapkan sasaran berbeza untuk setiap kejohanan yang disertai itu.

"Skuad akan cuba untuk memperbaiki pencapaian pingat perak atau pun setidak-tidaknya mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand," katanya.

Maizal berkata untuk Pusingan Kelayakan Zon Asean Kejuaraan Futsal Asia 2012 pula, skuad berharap untuk layak ke pusingan akhir di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 12 hingga 22 Mei tahun depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Australia, Vietnam dan Kemboja bagi Pusingan Kelayakan Zon Asean Kejuaraan Futsal Asia 2012 di Bangkok, Thailand.

Mengulas mengenai Kejuaraan Futsal AFF, Maizal berkata mengikut jadual yang diperoleh dari laman sesawang rasmi AFF, kejohanan bakal diadakan di Indonesia namun maklumat lanjut belum diperoleh.

"Jika kejohanan berjalan mengikut jadual tersebut (Disember), saya menjangka skuad futsal akan menghadapi pasukan yang sama beraksi pada Sukan Sea (November)," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Arsenal Dapatkan Khidmat Arteta

Artikel Lain