suria

Nicol Kekal Pemain No 1 Dunia Bagi Bulan Ke-62

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David kekal sebagai pemain nombor satu dunia mengikut ranking Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) untuk bulan ke-62 berturut-turut sejak Ogos 2007.

Kejayaan sulung Terbuka Australia pada 16 Ogos lalu terus memperkukuhkan kedudukan Nicol sebagai pemain nombor satu dunia dalam senarai terkini yang dikeluarkan oleh Wispa.

Menurut laman web Wispa, www.wispa.net, Nicol mendahului kedudukan dengan mengumpul 300 mata selepas mendominasi tiga kejohanan siri dunia -- Terbuka Cayman Island, Malaysia dan Australia.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 28 tahun itu bukan sahaja menungguli ranking dunia Wispa tetapi juga kedudukan kejohanan siri dunia Wispa.

Sementara itu, Jenny Duncalf dari England terus dibayangi Nicol di ranking kedua dunia dengan 195 mata, diikuti pemain Australia Rachael Grinham dengan 105 mata.

Dalam pada itu, dua pemain utama negara -- Low Wee Wern dan Delia Arnold -- mengekalkan kedudukan masing-masing di tangga ke-17 dan 23.

Barisan pelapis negara Siti Munirah Jusoh telah memperbaiki kedudukan dua anak tangga kepada tempat ke-45, Pusphppa Devi (131), Rachael Arnold (155) dan Zulhijjah Azan berada pada kedudukan ke-184.

Tan Yan Xin dan Vanessa Raj berkongsi tempat ke-201 dengan dua pemain Singapura, manakala Kuan Choy Lin, Lim Yoke Wah, Nessrine Ariffin, Sue Ann Yong dan Celine Yeap terikat di tangga ke-273 dalam senarai Wispa. - BERNAMA

Artikel Lain