suria

Pusat Doping USM Digesa Dapatkan Kembali Akreditasi

KUALA LUMPUR: Pusat kawalan doping Universiti Sains Malaysia (USM) digesa supaya segera mendapatkan kembali akreditasi Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) bagi membolehkan ujian doping dijalankan di dalam negara.

Pro Canselor universiti berkenaan dan bekas atlet olahraga negara Tan Sri Dr M.Jegathesan berkata penghantaran sampel urin bagi tujuan doping ke makmal luar negara, seperti di India dan Thailand, melibatkan kos yang agak tinggi iaitu mencecah RM300 per sampel.

"Pusat doping di USM harus memohon semula kepada Wada untuk diiktiraf. Kalau tidak sampel doping terpaksa terus dihantar ke makmal luar di negara jiran," katanya kepada Bernama.

Pusat Kawalan Doping USM digantung akreditasi oleh Wada sejak Jun tahun lepas selepas didakwa gagal mematuhi amalan Standard Antarabangsa Untuk Makmal (ISL).

Selain itu, Dr Jegathesan berkata secara keseluruhannya kegiatan penyalahgunaan dadah oleh atlet adalah terkawal di negara ini meskipun timbul kes berkaitan doping dari semasa ke semasa.

Dr Jegathesan merupakan Pengerusi Suruhanjaya Perubatan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dan Pengerusi Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain