suria

Noraseela Guna Latihan Di Afrika Selatan Sebagai Persediaan Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Atlet 400 meter lari berpagar wanita negara, Noraseela Khalid akan menggunakan tempoh latihan di Afrika Selatan sebagai persediaan dalam misi untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA di Indonesia, November ini.

"Walaupun jangkamasa di Afrika Selatan tidak begitu lama iaitu mulai 24 September hingga 1 November, latihan di sana dirangka khusus untuk Sukan SEA nanti," katanya kepada Bernama.

Melahirkan rasa terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menghantarnya berlatih di sana, Noraseela berkata beliau akan kembali menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih dari negara tersebut, Henni Kriel.

"Saya telah menjalani latihan di bawah jurulatih Henni Krie) sejak Disember 2008, dan hingga kini kami masih lagi bekerjasama melalui e-mel," katanya.

Noraseela berkata dalam tempoh latihannya di sana, beliau akan turut menyertai satu pertandingan olahraga.

"Saya masih lagi dalam tempoh pemulihan akibat dari kecederaan dan tidak meletakkan sebarang sasaran pada pertandingan tersebut," katanya.

Noraseela berkata pertandingan itu nanti boleh dianggap sebagai pemanas badan, dan tumpuan utamanya tetap Sukan SEA.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) antara MSN dan KOAM sebelum ini bersetuju untuk menghantar lima atlet yang layak secara merit seperti Noraseela Mohd Khalid dan Mohd Robani Hassan untuk menjalani latihan di Afrika Selatan.

Seramai 14 atlet olahraga layak secara merit untuk bertanding pada temasya Sukan SEA ke-26 di Indonesia pada November ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain