suria

Tarikh Aksi Suku Akhir Piala Malaysia Diumumkan Selepas Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Keputusan meminda tarikh perlawanan suku akhir Piala Malaysia akan diumumkan selepas Hari Raya Aidilfitri, menurut Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

Keputusan meminda tarikh perlawan tersebut adalah berikutan pertembungan tarikh tersebut dengan perlawanan persahabatan Harimau Malaya di bawah bimbingan Datuk K.Rajagobal dengan pasukan kebangsaan Australia pada 7 Oktober ini, kata beliau.

Satu mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) akan bersidang dalam masa terdekat ini, yang akan dipengerusikan oleh pengerusinya Datuk Hamidin Mohd Amin, yang juga Naib Presiden FAM, katanya, Sabtu.

Skuad Harimau Malaya telah diundang oleh Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) ke Sydney menentang pasukan Socceroos, iaitu skuad kebangsaan Australia, yang merupakan antara pasukan ternama di dunia dan juga naib juara Piala AFC 2011.

Azzuddin berkata mesyuarat itu akan membuat ketetapan sama ada untuk meneruskan jadual perlawanan yang diadakan ataupun untuk meminda tarikh pertandingan Piala Malaysia bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa itu.

Katanya perlawanan persahabatan ini merupakan satu penghormatan kerana kehebatan skuad Harimau Malaya yang kini telah dinilai oleh pasukan negara luar.

"Australia merupakan salah satu pasukan dalam 16 kumpulan terbaik Asia bagi saingan Piala Dunia. Walaupun kita gagal melayakkan diri dalam kumpulan tersebut, namun mereka memperakui taraf mutu perlawanan kita," kata Azzuddin.

Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia akan bermula pada 6 September dan berakhir pada 27 September, manakala peringkat suku akhir akan dilangsungkan pada 4 dan 8 Oktober dan disusuli dengan separuh akhir pada 14 hingga 22 Okt dan acara kemuncak pada 29 Okt.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain