suria

Palanivel Saran Atlet India Ikut Jejak Atlet Terdahulu

PETALING JAYA: Atlet negara dari kaum India perlu bekerja keras untuk mencapai status yang pernah dicapai oleh atlet terdahulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G. Palanivel.

Beliau yang juga Presiden MIC berkata prestasi atlet tempatan kini tidak setanding berbanding bekas juara dahulu seperti 'doktor terbang' Tan Sri Dr M. Jegathesan, Datuk M. Rajamani dan beberapa yang lain yang memecah rekod.

"Oleh itu pertubuhan sukan perlu fokus dalam menyediakan jurulatih yang baik, pelatih dan kemudahan untuk melahirkan atlet yang hebat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Belia India Malaysia-Tamilnadu-Singapura 2011 anjuran Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia (MIYDF) di Subang Jaya di sini, Sabtu.

Yang turut hadir ialah Pengerusi MIYDF, S.A. Vigneswaran dan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan.

Kejohanan selama tiga hari itu yang bermula semalam mempertandingkan acara karate, tenis, skuasy, boling, badminton, renang dan bola sepak. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain