suria

Riad Asmat Dinaikkan Pangkat Sebagai CEO

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Lotus Riad Asmat dinaikkan pangkat sebagai CEO Kumpulan Team Lotus, Caterham Cars, Caterham Team AirAsia, barang dagangan, kejuruteraan dan semua perniagaan berkaitan, berkuat kuasa serta merta.

CEO Air Asia Group Tan Sri Tony Fernandes dan dua lagi pemegang saham Kamarudin Meranun dan SM Nasarudin SM Nasimuddin mengesahkan kenaikan pangkat itu dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Mereka melahirkan rasa gembira bahawa Riad telah mengambil alih peranan itu.

"Kami amat gembira Riad telah mengambil alih peranan sebagai CEO Kumpulan dan beliau merupakan tokoh terbaik untuk memajukan lagi perniagaan kami," kata Fernandes.

Beliau berkata mereka pertama kali bertemu Riad pada 2009, dan serta merta kagum dengan minat, kerja keras dan keazamannya untuk berjaya.

"Beliau akan menjadi inspirasi kepada kumpulan tenaga kerja amat berbakat di semua syarikat-syarikat dalam kumpulan kami," katanya.

Mengenai kenaikan pangkatnya itu, Riad berkata beliau amat berbesar hati diberikan peluang untuk membantu menerajui kumpulan syarikat yang mengagumkan itu.

"Cabaran-cabaran besar menanti di depan kami, tetapi dengan dorongan dan minat mendalam yang ditonjolkan oleh Tony, Din (Kamarudin) dan Nasa (Nasarudin) di samping sokongan tenaga kerja yang berbakat dan dedikasi dalam syarikat-syarikat kumpulan ini, saya amat teruja dengan apa yang bakal mendatang," katanya.

Team Lotus ialah pasukan Formula One (F1) Malaysia yang berpangkalan di Britain yang julung kali menyertai musim Formula One pada 2010.-BERNAMA

Riad merupakan tunggak dalam penubuhan pasukan itu pada 2009. Di bawah pimpinannya sebagai CEO, beliau telah membantu pertumbuhan pasukan F1, penubuhan pasukan GP2, pemerolehan Caterham Cars dan pewujudan beberapa perniagaan berkaitan termasuk pembesaran bahagian barang dagangan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Eto'o Menjadi Milik Anzhi

Artikel Lain