suria

Latihan Dan Pemilihan Skuad Olimpik Mulai 1 September

KUALA LUMPUR: Sesi latihan dan pemilihan pemain skuad bola sepak Olimpik Malaysia bagi menghadapi perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Olimpik akan diadakan di dalam negara dan luar negara mulai 1 September ini.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini, seramai 22 pemain telah diminta untuk melaporkan diri di Wisma FAM di Kelana Jaya, Petaling Jaya untuk menjalani latihan dan pemilihan di bawah pengendalian jurulatih pasukan bola sepak Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee, pada 1 September.

Pemain akan menjalani latihan di Wisma FAM dari 1 Sept hingga 15 Sept dan di Jepun dari 16 hingga 18 Sept.

Antara pemain yang dipanggil ialah penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Izuan Solahuddin dari pasukan Kelantan, Mohd Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur) dan Mohd Azrif Nasrulhaq (PKNS).

Selain itu, dua pemain dari skuad Harimau Muda B -- Muhammad Nazmi Faiz dan Muhammad Syazwan Tajuddin -- juga turut dipanggil.

Sementara pemain skuad Harimau Muda A yang dipanggil ialah Abdul Shukor Jusoh, K. Gurusamy Govandar, Izzaq Faris Ramlan, Mahalli Jasuli, Mohamad Amer Saidin, Mohammad Muslim Ahmad, Mohd Fandi Othman, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir, Mohd Izham Tarmizi, Muhammad Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, Syahrul Azwari Ibrahim, Thamil Arasu Ambumamee dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Pada undian untuk pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 yang diadakan pada 7 Julai lepas, Malaysia telah diundi bersama Jepun, Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C.

Sementara Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi dan Oman diundi dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B terdiri daripada Australia, Iraq, Uzbekistan dan Emiriah Arab Bersatu.

Pada perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Olimpik pada 21 Sept ini, skuad Olimpik Malaysia dijadual bertemu Jepun.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Eto'o Menjadi Milik Anzhi

Artikel Lain