suria

Universiade: Kontinjen Negara Capai Kejayaan

SHENZHEN: Malaysia menamatkan cabaran temasya Sukan Universiti Dunia ke-26 (Universaide) di sini yang melabuhkan tirainya pada Selasa dengan rekod cemerlang apabila membawa pulang satu perak dan dua gangsa.

Pencapaian itu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-48 dari 152 negara yang mengambil bahagian pada temasya sukan terbesar universiti dunia itu, selain ke-4 terbaik pada kalangan negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian.

Timbalan Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Omar Abdul Rahman berkata pencapaian negara kali ini merupakan peningkatan berbanding edisi Universiade Bangkok, Thailand dua tahun lepas, dengan satu pingat perak yang disumbang Che Chew Chan menerusi acara taekwondo.

Omar berkata kejayaan kali ini turut membuktikan bahawa tanggapan kerjaya atlet terkubur apabila menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi tidak boleh diguna lagi.

"Saya ingin mengucapkan syabas kepada seluruh kontinjen negara atas kejayaan hari ini apabila berjaya membawa balik satu pingat perak dan dua gangsa," katanya, Selasa.

Omar berharap momentum kejayaan di Shenzhen mampu diteruskan pada edisi Universiade yang berikutnya di Kahazan, Rusia pada 2013.

Semua pingat kontinjen negara disumbangkan skuad terjun wanita, iaitu pingat perak diperolehi menerusi ratu terjun negara Pandelela Rinong dalam acara 10m Platform Wanita.

Pingat gangsa pula masing-masing diperolehi dalam acara 10m Platform Synchronised Wanita Berpasangan menerusi Pandelela dan Leong Mun Yee, serta acara berpasukan wanita.-BERNAMA

Artikel Lain