suria

Malaysia Puas Hati Persiapan Venue Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Malaysia berpuas hati dengan tahap persiapan venue Sukan SEA ke-26 di Indonesia dan yakin pihak penganjur kejohanan akan dapat menyiapkan sepenuhnya semua kerja sebelum November ini.

Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA Indonesia, Datuk Naim Mohamad yang melawat venue kejohanan itu di Jakarta dan Palembang bersama delegasinya pada 18 Ogos lepas menyatakan rasa puas hati terhadap persiapan yang sedang rancak dijalankan.

"Kami bersama kontinjen delegasi Asean lain telah melawat ke tempat-tempat kejohanan dan secara keseluruhan berpuas hati dengan venue di Jakarta yang kebanyakannya telah siap.

"Kalau tidak siap pun dianggarkan hanya 10 peratus sahaja dan memerlukan pengubahsuaian kecil. Penganjur telah memberi jaminan bahawa ia dijangka siap dalam tiga hingga empat minggu lagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Katanya lawatan venue ke Palembang diketuai oleh timbalannya Datuk Syed Mustaffa Syed Ali yang merupakan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan turut berpuas hati dengan penganjur yang dianggap komited, gigih mengejar masa menyiapkan venue.

"Saya difahamkan masih terdapat satu atau dua venue yang masih belum siap di Palembang dan dijangka siap selewat-lewatnya dua minggu sebelum temasya bermula," katanya.

Jakarta dan Palembang akan menjadi tuan rumah edisi ke-26 Sukan SEA dari 11 hingga 25 November.

Dalam perkembangan lain, Naim yang juga merupakan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi jaminan penginapan atlet negara telah disediakan dan diuruskan dengan terbaik oleh penganjurnya.

"Setakat ini kita tidak mendengar masalah yang berlaku dalam penganjuran. Bagi atlet beraksi di Palembang, mereka akan ditempatkan di perkampungan sukan sementara atlet beraksi di Jakarta, mereka akan menginap di hotel yang disediakan oleh penganjur.

"Jarak venue sukan antara penginapan dianggarkan antara 20 hingga 30 minit sahaja," katanya.

Beliau berkata penganjur akan mengadakan mesyuarat terakhir bersama delegasi pada 24 Oktober ini di Jakarta bagi membincangkan mengenai fasa terakhir sebelum bermulanya temasya Sukan SEA itu.

Sebanyak 40 daripada 43 acara yang dipertandingkan akan disertai atlet negara pada temasya dwitahunan itu. - BERNAMA

Artikel Lain