suria

Skuad Bola Sepak Malaysia Perlu Menang Esok

SHENZHEN:Skuad bola sepak mahasiswa negara menghadapi laluan sukar pada perlawanan penentuan tempat ke-11 apabila bertemu dengan Republik Czech di Bao'an Xixiang Sports Center, pada Isnin.

Skuad bimbingan Aminuddin Hussin sebelum ini tewas pada kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan B.

Pada perlawanan peringkat kumpulan B sebelum ini, Malaysia tumpas 1-2 kepada Ukrain, 1-2 kepada Brazil dan 0-2 kepada Rusia.

Namun, kejayaan menumpaskan Thailand 5-4 di perlawanan penentuan bagi kedudukan kesembilan hingga 12 pada Khamis lepas memberi peluang kepada Malaysia untuk memperbaiki kedudukan di Temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011.

Pada Sabtu, skuad bola sepak mahasiswa negara mempersia-siakan peluang terbaik untuk melakar rekod baru pada temasya ini selepas tewas 1-5 kepada Kanada pada penentuan tempat kesembilan hingga 12 di Stadium Sekolah Sukan Shenzhen.

Jurulatihnya, Aminuddin Hussin menyifatkan kekalahan itu adalah yang terburuk sepanjang empat perlawanan di Universiade 2011.

"Ini adalah aksi paling buruk di temasya ini. Saya berasa amat kecewa kerana para pemain tidak bermain dengan baik seperti yang diharapkan.

"Corak permainan yang dipamerkan oleh pemain kita semalam lebih kepada individu dan bukannya bermain secara berpasukan dan besar kemungkinan saya akan membuat rombakan secara besar-besaran pada perlawanan menentang Republik Czech esok," katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Skuad negara perlu menewaskan Republik Czech pada pertemuan di Pusat Sukan Bao'an Xixiang petang esok sekiranya berhajat untuk menamatkan saingan di tempat ke-11.

Ketika edisi Universiade di Bangkok, Thaialand empat tahun lalu, skuad negara sekadar menduduki tempat ke-12 daripada 16 pasukan yang bertanding.

Artikel Berikut

Artikel Lain