suria

Lai Kwan Perbaiki Rekod Kebangsaan

SHENZHEN: Perenang kebangsaan Chui Lai Kwan masih tidak berpuashati dengan pencapaiannya meskipun berjaya memperbaiki rekod kebangsaan dalam acara 50 meter gaya bebas wanita pada temasya Sukan Universiti Dunia 2011 (Universiade) di Pusat Akuatik Universiade pada Jumaat.

Chui memperbaharui rekod yang dipegangnya sendiri dengan catatan 26.02 saat iaitu 0.01 saat lebih pantas daripada masa yang dilakukanya ketika menyertai Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.

Namun dengan catatan tersebut, Chui hanya sekadar menduduki tangga ke-12 keseluruhan daripada 42 perenang.

Chui berkata sasaran peribadinya ialah melakukan catatan masa di bawah 26 saat pada temasya Universiade di sini.

"Saya tidak sangka boleh dapat membuat rekod baru di sini tetapi sebenarnya saya mahu melakukan catatan masa di bawah 26 saat pada perlumbaan sebentar tadi. "Itu sasaran sebenar saya supaya selepas ini dapatlah bersaing dengan perenang kelas dunia dan saya harap boleh melakukannya satu hari nanti, " katanya kepada Bernama. Seorang lagi perenang negara yang turut beraksi dalam acara sama, Leung Chii Lin berada di tempat ke-29 dengan catatan masa 27.10 saat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain