suria

Pemain Golf Wanita Negara Ada Peluang Beraksi Di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Peluang kini terbuka bagi pemain golf amatur wanita untuk mewakili Malaysia pada Pusingan Akhir Kejohanan Golf Wanita Piala Dunia di Murcia, Sepanyol November depan.

Bagaimanapun, mereka terlebih dulu perlu menjuarai kejohanan golf wanita Piala Malaysia 2011 yang akan berlangsung dalam dua pusingan - pusingan pertama di Kota Permai Golf and Country Club pada 13 Sept dan pusingan kedua di Sutera Harbour Golf and Country Club di Kota Kinabalu pada 29 Sept.

Dalam kenyataan di sini hari ini, pengarah eksekutif Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) Datuk Rabeahtul Aloya Abbas berkata peluang untuk bermain di Sepanyol hanya muncul sekali seumur hidup bagi pemain golf wanita negara ini.

"Kejohanan ini dibahagi kepada beberapa kategori untuk menjadikannya lebih menarik dan memberi peluang sama rata kepada peserta," katanya.

Kejohanan ini terbuka kepada pemain golf wanita Malaysia berusia 16 tahun ke atas, yang memiliki sijil handikap semasa yang sah (NHS).

Kategori A adalah bagi handikap 0-18, manakala Kategori B bagi handikap 19-36. Pemenang setiap kategori dalam dua pusingan itu akan layak ke Sepanyol.

Untuk menyertai kejohanan ini, setiap peserta dikenakan bayaran RM480 dan RM380 untuk anggota MALGA.

Piala Golf wanita adalah kejohanan golf amatur terbesar bagi wanita di Eropah. Piala Golf Wanita 2011 mengandungi tiga litar Inggeris, Eropah dan pusingan Malaysia juga dikenali sebagai pusingan Asia. - BERNAMA

Artikel Lain