suria

Misi Buru Pingat Belum Berakhir: Ketua Kontinjen

SHENZHEN: Setelah enam hari sunyi tanpa sebarang kilauan pingat, Ketua Kontinjen negara ke Temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 tetap optimis atlet negara dapat meraih pingat pada saingan Khamis.

Prof Dr Shaharudin Abdul Aziz berkata beliau masih menaruh harapan tinggi kepada atlet negara yang mengambil bahagian dalam temasya sukan kedua terbesar dunia itu.

"Kita mengharapkan sekurang-kurangya sebutir pingat mampu disumbang sama ada melalui Pandelela Rinong mahupun Leong Mun Yee yang akan beraksi dalam acara 10 meter platform individu wanita esok (Khamis)," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Beliau berkata keyakinan itu dibuat berdasarkan pencapaian kedua-dua ratu terjun negara itu.

Shaharudin berkata walaupun skuad memanah negara gagal mencapai sasaran satu pingat menerusi Cheng Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizam Wan Abdul Aziz dalam acara recurve individu lelaki, namun mereka mempamerkan aksi terbaik di Shenzhen.

Penerjun negara Bryan Nickson Limas juga hanya sekadar meraih tempat kelima pada saingan akhir acara 3 meter papan anjal lelaki pada Khamis.

Namun atlet dari Sarawak itu optimis untuk memburu pingat bagi acara 10 meter platform individu lelaki pada Isnin ini.

"Adalah tidak adil jika kita menyalahkan atlet terbabit kerana taraf Universiade adalah berbeza dengan kejohanan lain kerana ramai atlet handalan dunia beraksi pada kejohanan ini.

"Saya harap atlet kita tidak akan putus asa sebaliknya terus berusaha seperti yang telah dirancangkan sebelum ini...Insya-Allah kejayaan akan datang selepas ini," katanya.

Shaharudin berkata walaupun skuad memanah dan berbasikal gagal meraih pingat, kontinjen negara masih berharap dapat mencapai sasaran satu pingat emas, satu perak dan gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain