suria

Puasa Tidak Halang Atlet TSG Menjalani Latihan

KUALA TERENGGANU: Ibadah puasa tidak menghalang atlet-atlet basikal pasukan Profesional Terengganu-Terengganu Pro-Asia Cycling (TSG) menjalani latihan bagi persediaan menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengurus pasukan, Ahmad Kamarul Idrus berkata latihan itu bertujuan mengekalkan stamina dan prestasi pelumba-pelumba sepanjang masa, sesuai sebagai seorang pelumba profesional.

"Kami adakan latihan di sebelah malam pada bulan puasa ini supaya pelumba pelumba tidak merasa letih seperti berlatih di bulan-bulan biasa," katanya kepada Bernama.

Ahmad Kamarul berkata TSG akan menyertai enam lagi kejohanan antarabangsa sehingga akhir tahun ini dan ia menuntut pelumba-pelumba lebih bersedia bagi memastikan kehebatan pasukan tidak terjejas.

Enam kejohanan itu ialah Jelajah Brunei mulai 16-19 September diikuti Jelajah Hokaido Jepun, Jelajah Jawa Timur di Surabaya Indonesia, Jelajah Indonesia (Jakarta-Bali), Jelajah Hainan, China dan Jelajah Okinawa, Jepun.

"TSG mempunyai 16 pelumba kesemuanya termasuk pelumba import dan setiap kejohanan itu akan dihantar antara lima hingga enam orang pelumba," katanya.

Ahmad Kamarul berkata TSG mengadakan latihan pelumba-pelumba tempatan di sekitar Kuala Terengganu manakala pelumba-pelumba import berlatih di negara masing-masing iaitu di Thailand, Jepun dan Korea Selatan.

Tahun ini TSG menyertai 12 kejohanan antarabangsa, dan kejohanan yang sudah ditempuhinya ialah Jelajah Kaumono di Jepun, Jelajah Korea Selatan, ujian masa berpasukan di Brunei, Jelajah Mumbai di India, Jelajah Filipina dan Jelajah Singkarak Sumatera Barat Indonesia.

"Kita bangga kerana kita yakin dapat memiliki sama ada jersi kuning atau biru dalam setiap kejohanan yang kita sertai itu," katanya.

Ahmad Kamarul berkata antara pelumba hebat tempatan pasukan TSG termasuk Anuar Manan, Mohd Haris Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohd Saufi Mat Senang manakala pelumba import Shinichi Hukushima (Jepun), Phuchong Sai-Udonsin (Thailand) dan Jang Chan Jae (Korea Selatan).

Artikel Lain