suria

Sergio Aguero Tunjuk Taring Pada Persembahan Pertama Bersama City

MANCHESTER: Prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Manchester City awal pagi Isnin dengan membelasah pendatang baru Liga Perdana, Swansea City 4-0 hanya menjelaskan satu perkara sahaja - mereka tidak memerlukan lagi khidmat Carlos Tevez untuk terus mencabar Manchester United memburui takhta liga.

Kesemua gol City dijaringkan oleh pemain-pemain antarabangsa mereka termasuklah dua gol oleh menantu Diego Maradona - Sergio Aguero pada aksinya yang pertama menyarung jersi biru muda itu pada minit ke 68 dan 91. Dua lagi gol City disumbangkan oleh penyerang Bosnia, Edin Dzeko (57) dan penyerang Sepanyol, David Silva (71).

David Silva seharusnya menambah golnya lebih dari satu apabila percubaan solonya pada separuh masa pertama diselamatkan oleh penjaga gol Swansea Michel Vorm yang baru dibeli dari FC Utrecht, pada harga £1.5 juta.

Pada 30 minit yang pertama, Swansea kelihatan bertindak garang dan bermain tanpa rasa gentar dengan barisan ternama City. Malangnya masuk sahaja separuh masa kedua, pertahanan mereka mula goyah dan tidak dapat lagi bertahan asakan demi asakan.

Hujung minggu lagu sebuah lagi pasukan baru Liga Perdana QPR turut kecundang 4-0 ditangan Bolton.

Jaringan kedua Aguero dari jarak 30 ela disifatkan oleh Pengurus City, Roberto Mancini sebagai bertaraf dunia dan menjelaskan kenapa pemain itu berharga £38 juta.

“Saya tidak terkejut...sebab itulah dia berharga £38 juta,” ujar Mancini.

Pada masa yang sama Tevez, bukan sahaja tidak tersenarai walaupun sebagai pemain simpanan tetapi tidak langsung kelihatan pada mana-mana bahagian dalam stadium.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain