suria

Kontinjen Negara Tetap Optimis Buru Pingat Emas Pertama Negara

SHENZHEN: Kontinjen Malaysia tetap optimis untuk terus memburu satu pingat emas, satu gangsa dan satu perak di temasya Sukan Universiade edisi ke-26, walaupun gagal meraih sebarang pingat pada hari ketiga kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 23 Ogos.

Penyelaras Media Kontinjen Malaysia ke Universiade 2011 Nur Ekmal Buhary berkata kesemua 123 atlet negara masih berkeyakinan dan tetap fokus dalam usaha mengejar sasaran itu.

"Walaupun gagal meraih pingat menerusi beberapa acara yang berlangsung hari ini iaitu renang, gimnastik artistik, lawan pedang dan bola sepak, ia tidak bermakna sasaran kita telah tersasar.

"Kita harapkan atlet mahasiswa mampu membaiki rekod peribadi mereka di Shenzhen, malah mampu memenangi pingat di sini. Kita faham tekanan dan saingan dihadapi oleh setiap atlet," katanya kepada Bernama.

Hari ini, beberapa kejayaan agak membanggakan dicipta atlet negara, antaranya kejayaan perenang Clement David Leong membaharui rekod peribadi menerusi acara 200m kuak dada lelaki yang berlangsung di Pusat Akuatik Universiade dengan catatan masa 2.28s, kurang enam saat berbanding masa terbaiknya sebelum ini.

Sementara itu, atlet lawan pedang junior negara Mohammad Roslan Mohamed membuat kejutan apabila mara hingga ke pusingan ketiga dalam acara apee individu lelaki yang berlangsung di Exhibition Centre.

Walaupun gagal meraih pingat, Mohammad Roslan perlu diberi pujian kerana berjaya melepasi cabaran melalui persaingan dengan atlet handalan dunia.

Peluang pasukan bola sepak negara ke peringkat suku akhir pula terkubur apabila tewas 1-2 kepada Brazil pada perlawanan kedua yang berlangsung di Shenzhen Bao’an Xixiang Sport Centre malam Ahad. - BERNAMA

Artikel Lain