suria

Gimnas Negara Kecundang Sebelum Beraksi

SHENZHEN: Gimnas negara, Noor Hasleen Fatihin Hasnah kecewa apabila terpaksa menarik diri daripada beraksi di perlawanan kelayakan bagi kategori individu wanita setelah mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki kiri ketika beraksi di Gimnasium Shenzhen Bao'an .

Noor Hasleen Fatin, 19, berkata beliau rasa sedih kerana tidak dapat beraksi sedangkan telah banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk latihan persiapan sebelum menghadapi temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2010).

"Saya mengalami kecederaan ketika sesi memanaskan badan namun saya cuba kuatkan diri untuk menghabiskan displin pertama 'balance spin'.

"Tetapi akibat tidak dapat menahan kesakitan yang melampau saya terpaksa menarik diri untuk meneruskan dua displin yang berikutnya iaitu 'Vault' dan 'Floor Exercise'," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berharap mampu membuktikan sesuatu apabila beraksi di temasya Sukan SEA Indonesia pada hujung tahun ini.

"Saya harap dapat melakukan sesuatu di Indonesia memandangkan itu adalah satu-satunya kejohanan yang saya sertai tahun ini," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan gimnastik, Jaslan Hussen berkata anak buahnya telah melakukan persembahan yang terbaik pada pusingan pertama dengan mata 9.65 dalam keadaan sakit namun gagal meneruskan aksinya untuk displin yang berikutnya.

Jaslan berkata kejohanan ini adalah pendedahan yang cukup bermakna buat Noor Hasleen Fatihin kerana ramai gimnas handalan dunia terutama daripada negara Eropah timur mengambil bahagian pada temasya sukan kedua terbesar dunia ini.

"Berdasarkan persembahan Noor Hasleen Fatihin, saya yakin bahawa beliau berupaya untuk membuktikan sesuatu pada Universiade edisi berikutnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain