suria

Skuad Menembak Yakin Mampu Bawa Pulang Satu Pingat

SHENZHEN: Skuad menembak negara yakin mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat tanpa mengira warna pada temasya Sukan Universiti Dunia 2011 (Universiade) yang akan bermula secara rasmi di sini Jumaat.

Pengurus pasukan menembak, Nik Ismail Rashed Che Ali berkata sasaran tersebut dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet menembak yang juga merupakan atlet skuad kebangsaan.

Beliau berkata sandaran utama diletakkan kepada Nur Ayuni Farhana Abdul Rahman yang akan mengambil bahagian dalam acara 10M Air Rifle, 50M SB Prone dan 50M 3 Position.

"Kita yakin dengan kebolehan Nur Ayuni dan juga atlet lain memandangkan bahawa mereka adalah atlet yang berpengalaman dan sebelum ini pernah beraksi dan memenangi pingat di beberapa kejohanan menembak peringkat dunia," katanya kepada Bernama, Khamis.

Beliau berkata semua 15 atlet telah bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut setelah menjalani latihan persiapan di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi sebelum tiba ke Shenzhen hari ini. Nik Ismail Rashed berkata saingan yang bakal dihadapi penembak negara agak sukar kerana beberapa negara yang mendominasi sukan tersebut seperti China, Korea Selatan dan Rusia dijangka akan menurunkan beberapa penembak handalan mereka.

"Walaupun terpaksa berdepan dengan penembak handalan dunia, kita yakin bahawa penembak kita mampu membawa pulang pingat untuk negara nanti," katanya.

Selain Nur Ayuni, 14 lagi penembak negara yang akan mengambil bahagian pada temasya sukan kedua terbesar dunia itu ialah Hafiz Adzha, Johnathan Wong Guanjie, Ahmad Zhafri Zamil, Muhamad Zubair Mohammad, Muhamad Hassnul Adzhar Mohd Badrin, Mohd Sharil Sahak, Hisyam Adzha, Joseline Cheah Lee Yean, Noorerffani Abdul Malick, Siti Nur Masitah Mohd Badrin, Wahidah Ismail, Muslifah Zulkfli, Shahera Rahim Raja dan Nur Ain Ibrahim.

Kontinjen negara meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa menerusi acara menembak, terjun, dan berbasikal.

Namun tiada sandaran khusus diletakkan kepada atlet bagi mengurangkan tekanan yang bakal dihadapi mereka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain