suria

Taklimat Ketua-Ketua Kontinjen Di Jakarta Khamis Depan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa penganjur Sukan SEA Palembang dan Jakarta akan memberi taklimat kepada ketua-ketua kontinjen negara yang menyertai temasya ke-26 itu pada Khamis depan di Jakarta.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata ketua kontinjen negara ke Jakarta, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamed dan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Datuk Syed Mustaffa Syed Ali selaku ketua kontinjen ke Palembang akan menghadiri taklimat itu.

"Mereka juga akan dibawa meninjau persiapan di venue-venue pertandingan di Jakarta dan Palembang," katanya, Rabu.

Ceramah itu disampaikan bekas atlet olahraga negara dan ahli akademik Tan Sri Dr. M. Jegathesan.

Sieh berkata selain taklimat ketua kontinjen, pihak penganjur juga akan memberikan taklimat berhubung hak penyiaran televisyen.

Beliau juga berkata MOM kini dalam proses terakhir menyenaraikan nama atlet yang akan bertanding pada temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.

Katanya hanya enam persatuan sukan kebangsaan yang masih belum belum menyerahkan senarai atlet mereka iaitu sukan akuatik, olahraga, angkat berat, bola tampar, petanque dan shorinji kempo.

"Mereka masih mengadakan proses pemilihan (atlet) dan dijangka menghantar senarai akhir selepas Ramadan," katanya.

Sebanyak 43 jenis sukan termasuk enam sukan baru iaitu bridge, paragliding, sukan roller, shorinji kempo, vovinam dan mendaki akan dipertandingkan pada temasya itu yang berlangsung dari 11 hingga 25 Nov ini.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam semua jenis sukan kecuali gusti, lumba perahu tradisional, tenis lembut dan vovinam.-BERNAMA

Artikel Lain