suria

Skuad Bola Sepak Negara Harap Tuah Hujan

SHENZHEN: Skuad bola sepak negara ke temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) mengharapkan tuah hujan bagi mencari kemenangan pertama pada perlawanan pusingan saringan kumpulan B menentang pasukan Ukraine yang akan berlangsung di Stadium Shenzhen petang Khamis.

Jurulatih skuad negara, Aminuddin Hussin berkata sekiranya pada Khamis hujan ianya akan memberi kelebihan kepada skuad negara kerana anak didiknya mempunyai kelebihan beraksi dalam keadaan hujan.

"Saya harap esok hujan agar pemain kita dapat bermain dengan baik dan dapat mengatasi pemain Ukraine yang mempunyai bentuk fizikal yang lebih besar berbanding dengan pemain kita," katanya kepada pemberita ketika sesi latihan skuad di Shenzhen Middle School dekat sini Rabu.

Beliau berkata untuk menang setiap pemain dalam skuad negara perlu mempunyai semangat dan keyakinan yang tinggi.

"Saya akur bahawa bukan mudah untuk kita atasi juara bertahan Universiade edisi 2007 di Bangkok, Thailand itu," katanya.

Aminuddin berkata beliau telah memberi pesanan kepada semua pemainnya agar berani membuat cubaan bagi mencari gol seawal permainan.

Malaysia diletakan dalam kumpulan B bersama Ukraine, Brazil dan Russia. - BERNAMA

Artikel Lain