suria

Universiade 2011: Skuad Catur Tidak Ingin Pulang Tangan Kosong

SHENZHEN: Skuad catur Malaysia berazam tidak mahu pulang dengan tangan kosong dalam penyertaan sulung mereka pada Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) yang akan bermula Jumaat ini dan berakhir 24 Ogos ini.

Namun jurulatih skuad catur Dr Ng Siew Cheok mengakui hasrat itu mungkin sukar dicapai kerana skuad negara masih kurang pengalaman.

Beliau memberitahu Bernama di sini bahawa pasukan catur universiti negara belum pernah menyertai sebarang kejohanan peringkat antarabangsa sebelum ini.

"Apa pun kami akan cuba lakukan yang terbaik dan tidak ingin pulang dengan tangan kosong," katanya.

Ng, pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya, berkata walaupun tidak meletakkan sebarang sandaran pingat, beliau berharap pemain negara dapat memperbaiki ranking masing-masing menerusi penyertaan di sini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada pemain catur universiti kita mengambil bahagian dalam kejohanan ini," katanya.

Skuad Malaysia terdiri Nur Shazwani Zulkafli, Au Yoong Yow Loo, Zarul Sahzwan Zulkafli, Chyan Tze Wei, Lan Siah Jun Ren, Ayu Annuar Fetrah, Nadiah Namlur dan Pang Hweh Yih.

Nur Shazwani berkata beliau dan rakan-rakanya telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi saingan pertama yang akan berlangsung di Meihua Hall, Shenzhen pada Ahad ini.

"Kami perlu buktikan sesuatu agar sukan catur yang sebelum ini kurang popular akan mendapat perhatian pihak pentadbir sukan satu hari nanti," katanya.

Nur Shazwani, pelajar bidang perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM), berkata beliau dan rakan-rakan tidak akan mempersiakan peluang yang diberikan ini dan akan melakukan persembahan yang terbaik nanti.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain