suria

Peluang Beraksi Di Sukan SEA Indonesia Satu Bonus:Rizal

KUALA LUMPUR: Pelumba trek negara, Mohd Rizal Tisin, menganggap 'lampu hijau' yang diberikan oleh Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) untuk beliau beraksi pada Sukan SEA di Indonesia pada November ini sebagai satu bonus buat dirinya.

Katanya peluang yang diberikan itu tidak akan dipersia-sia dan beliau akan cuba untuk menyumbang pingat buat negara pada penampilan ketiganya di temasya dwi-tahunan itu.

"Saya mahu menutup tirai tahun ini dengan kejayaan. Sebenarnya, saya tidak kisah untuk sertai acara 200m pecut individu kerana ia bukanlah acara kegemaran saya. Bagaimanapun, saya yakin mampu melakukan yang terbaik," kata pelumba berusia 27 tahun dari Klang kepada Bernama.

Pada Isnin, Presiden PKBM Abu Samah Abd Wahab dalam satu kenyataan berkata persatuan memberi kebenaran kepada Mohd Rizal untuk menyertai dua disiplin berbeza iaitu 200m pecut individu dan BMX pada temasya Sukan SEA kali ini.

Acara kegemaran Mohd Rizal sebenarnya ialah 1km ujian tetapi acara itu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA kali ini yang akan berlangsung di Jakarta dan palembang sari 11 hingga 22 Nov ini.

Pada penampilan pertama di Sukan SEA di Manila pada 2005, Mohd Rizal meraih pingat emas acara pecut berpasukan, dan dua tahun kemudiannya di Korat, Thailand, beliau memenagi dua pingat emas melalui acara 1km ujian masa dan pecut berpasukan.

Acara berbasikal trek tidak dipertandingkan pada temasya Sukan SEA Laos pada 2009.

"Saya rasa, saya tidak ada masalah untuk beraksi dalam acara pecut individu kerana saya pernah menyertai acara itu sebelum ini tetapi tidak begitu baik berbanding pecut berpasukan," kata Mohd Rizal, yang memulakan karier dalam acara berbasikal dengan acara BMX sebelum beralih ke acara trek.

Beliau kini menjalani latihan secara bersendirian di Velodrom Kuala Lumpur.

"Saya buat latihan sendiri dan selalunya saya sertai latihan skuad pelumba pelapis. Untuk persiapan menghadapi Sukan SEA, (jurulatih John) Beasley akan menghantar program latihan kepada saya selepas Hari Raya nanti," katanya.

Mohd Rizal berkata untuk persiapan latihan untuk kedua-dua acara itu, beliau perlu membahagikan masa dengan bijak.

Beliau sering menjalani latihan BMX bersama beberapa rakan di Putrajaya, Shah Alam dan Damansara.

Penyertaan Mohd Rizal dalam acara BMX pada temasya Sukan SEA kali ini adalah di bawah kategori B. - BERNAMA

Artikel Lain