suria

M'sia Dipilih Tuan Rumah Kejohanan Boling Dunia IBSA Keempat

PETALING JAYA: Malaysia diberi penghormatan oleh Persekutuan Sukan Cacat Penglihatan Antarabangsa (IBSA) untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Boling Dunia IBSA Keempat dari 7 hingga 16 Oktober ini.

Kejohanan selama 10 hari itu, anjuran Persatuan Sukan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (MBSA) dengan bantuan Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur (KLTBA), akan diadakan di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, di sini.

"Ini merupakan penghormatan besar bagi Malaysia untuk dipilih menjadi tuan rumah buat julung kali," kata pengerusi bersama jawatankuasa penganjur, Tan Sri Mohamad Noor Abd Rahim pada sidang media di sini Isnin.

Katanya sebanyak 15 negara dijangka menyertai kejohanan itu dengan 13 negara setakat ini telah mengesahkan penyertaan masing-masing.

Sidang media itu turut dihadiri oleh Pengerusi Teknikal Boling IBSA, Toshiaki Aomatsu, presiden Persatuan Sukan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (MBSA), S. Radha Krishnan, yang juga pengerusi bersama jawatankuasa pengajur dan setiausaha agung, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Sidney Tung.

Mohamad Noor berkata kejohanan kali ini akan menyaksikan pertambahan bilangan negara peserta berbanding hanya sembilan negara pada kejohanan lalu di Sydney, Australia, pada 2007.

Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan pada edisi keempat kali ini ialah juara bertahan Taiwan, Australia, Republik Z=Czech, Britain, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Poland, Singapura, THailand, Amerika Syarikat, Finland dan tuan rumah Malaysia.

Pada edisi lepas di Sydney, Malaysia merangkul dua emas dan dua gangsa.

"Harap, kali ini kita dapat memperbaiki pungutan pingat khususnya dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain