suria

Petanque Buru Emas Pertama Sukan Sea Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Setelah gagal dalam lima edisi sebelum ini, atlet sukan petanque bertekad memburu pingat emas pertama acara itu pada Sukan Sea Indonesia pada November ini.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) Shaari Shamsudin berkata sasaran emas disandarkan kepada pemenang pingat gangsa dua tahun lepas, Mohd Faiza Mohamad bagi acara perseorangan 'shooting' lelaki.

"Berdasarkan prestasi semasa, kami yakin Mohd Faiza mampu memberi tentangan kepada peserta dari Thailand dan Kemboja kerana selain berpengalaman, dia juga konsisten," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Pada Sukan Sea Laos 2009, skuad petanque memperoleh dua perak dan satu gangsa.

Mengenai pemilihan atlet, Shaari berkata empat peserta lelaki dan empat wanita dipilih ke Indonesia.

Mereka terdiri Ahmad Safuan Ibrahim, Mohd Faiza Mohamad, Mohd Hafizuddin Md Daud dan Mohd Hakim Ahmad Sabri serta Nurul Farzieana Abdul Malik, Nur Syazwani Anuar, Suharti Sera Zamri dan Wan Zahira Wan Zakaria.

"Sesi pemilihan akhir dilakukan pada kejohanan kebangsaan di Melaka bulan lepas," katanya.

Shaari berkata mereka ini akan memulakan sesi latihan intensif mulai 5 September ini.

Mengulas mengenai prestasi peserta, Shaari berkata PPM mengharapkan dua pemain senior iaitu Wan Zahira dan Nurul Farzieana sekurang-kurangnya melangkah ke pusingan kedua atau ke peringkat suku akhir.

Pasukan petanque negara akan bertanding dalam tiga acara iaitu perseorangan, berpasangan dan 'shooting'. - BERNAMA

Artikel Lain