suria

Universiade 2011: Malaysia Yakin Raih Pingat Emas Pertama

PUTRAJAYA: Kontinjen negara ke Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) meletakan sasaran satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada temasya yang akan berlangsung di Shenzhen, China dari 12-24 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung berkata sandaran tersebut diletakan kepada acara terjun, renang, badminton dan berbasikal namun tiada sandaran khusus dibuat ke atas atlet kerana tidak mahu memberi tekanan tambahan kepada mana-mana atlet.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 123 atlet yang telah dipilih untuk mewakili negara kerana Universiade merupakan kejohanan kedua terbesar selepas sukan Olimpik.

"Saya berharap atlet negara terutamanya atlet baru menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk membuktikan kebolehan masing-masing beraksi di arena sukan antarabangsa.

"Saya juga berharap atlet ke Shenzhen dapat menjadi contoh kepada masyarakat dan membuktikan kesungguhan pihak kerajaan dalam menjaga golongan pelajar yang bergiat aktif dalam sukan dan akademik.

"Ianya sekaligus dapat membantu usaha kerajaan menjayakan dasar 1Murid, 1Sukan yang mula diperkenalkan baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas acara penyerahan bendera kepada kontinjen negara di sini, Rabu.

Hou berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga akan memberi insentif khas dalam bentuk biasiswa pengajian kepada atlet yang cemerlang di Shenzhen nanti.

"Kita tidak bercadang memberi habuan dalam bentuk wang ringgit kepada atlet mahasiswa tetapi menawarkan insentif yang lebih bernilai dalam bentuk biasiswa pengajian kepada atlet untuk masa depan mereka," katanya.

Beliau berkata KPT juga bercadang untuk memberikan bantuan komputer riba dan Ipad kepada atlet yang layak.

Sehingga kini pencapaian terbaik atlet Malaysia pada temasya Universiade ialah pada tahun 2007 di Bangkok, Thailand melalui Chee Chew Chan yang memenangi pingat perak dalam acara taekwondo.-BERNAMA

Artikel Lain