suria

Penyokong Perlu Bersikap Profesional:Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Masanya sudah untuk penyokong bola sepak tempatan bersikap profesional sejajar peningkatan kualiti bola sepak negara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata penyokong sentiasa berharap pemain bermain secara profesional ketika di padang, namun segelintir mereka juga tidak mampu berbuat demikian (bersikap profesional) apabila menonton di bangku stadium.

Ahmad Shabery berkata penonton di stadium perlu berkelakuan baik, termasuk menghormati lagu kebangsaan negara lain.

"Penyokong harus sedar, jika ada yang berkelakuan kasar, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang akan didenda, dan kemenangan pasukan negara boleh ditarik balik," katanya selepas menghadiri sidang akhbar berhubung Laporan Pencapaian Piala Monsun 2010, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang penyokong bola sepak tempatan, Ahmad Jazimin Jalaluddin, 29, yang buta mata kanan akibat terkena serpihan mercun dilempar penonton pada perlawanan kelayakan Piala Dunia Malaysia menentang Singapura di Bukit Jalil, Khamis lalu.

Ahmad Shabery berkata pihak pengurusan stadium juga perlu meningkatkan kawalan keselamatan ketika sesuatu perlawanan berlangsung.

"Pihak keselamatan, bukan saja perlu berkawal di sekeliling padang, tapi juga di seluruh kawasan stadium supaya jika berlaku apa-apa, mereka boleh mengambil tindakan segera dan memberi pengajaran pada penonton yang lain," katanya.

Selain itu, beliau berkata FAM perlu menimbang cadangan melantik pakar taktikal bagi membantu jurulatih Datuk K.Rajagopal.

"FAM harus menerima pandangan tersebut secara terbuka demi kepentingan pasukan bola sepak negara," katanya mengulas laporan sebuah akhbar yang mengemukakan cadangan itu berdasarkan temubual dengan beberapa ahli akademik tempatan. - BERNAMA

Artikel Lain