suria

Golf: Bintang LPGA Kendali Klinik Kejurulatihan Golf Bagi Pemain Muda Malaysia

KUALA LUMPUR: Bintang golf antarabangsa Paula Creamer dan Natalie Gulbis akan berada di Kuala Lumpur untuk membantu mempromosikan Sime Darby dan kejohanan golf Sime Darby LPGA Malaysia 2011.

Edisi kedua Sime Darby LPGA Malaysia dijadual diadakan di Kuala Lumpur Golf and Country Club dari 13 hingga 16 Oktober ini.

Menurut kenyataan penganjur kejohanan Selasa, kedua-dua pemain golf profesional itu akan mengendalikan klinik bagi Program Pembangunan Sime Darby sebagai sebahagian daripada siri jelajah mereka selama seminggu ke Malaysia.

Klinik kejurulatihan itu akan diadakan di lapang sasar Kuala Lumpur Golf and Country Club pada 10.30 pagi Jumaat ini.

Program Pembangunan Sime Darby akan memberi tumpuan ke arah membantu pemain golf wanita muda Malaysia meningkatkan prestasi mereka dalam semua aspek permainan.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa input daripada Creamer dan Gulbis sangat berharga memandangkan mereka berdua merupakan pemain profesional berpengalaman dalam Siri Jelajah LPGA. - BERNAMA

Artikel Lain