suria

Sukan SEA: Wushu Sasar Dua Emas

KUALA LUMPUR: Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), yang menampilkan muka baru dalam skuad ke Sukan SEA di Indonesia, yakin akan membawa pulang dua pingat emas daripada temasya yang akan berlangsung dari 11 hingga 25 November ini.

Setiausaha Eksekutif PWM, Winnie Chin berkata sasaran itu kurang satu emas daripada jumlah pungutan pingat emas ketika temasya di Laos pada 2009 kerana skuad wushu kini kurang pendedahan di peringkat antarabangsa.

"PWM tidak menetapkan sasaran kutipan pingat lebih tinggi pada temasya kali ini... sasaran dua emas bersesuaian dengan kemampuan atlet dalam pasukan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Selasa.

Pada Sukan SEA Laos, skuad wushu menyumbang tiga emas, satu perak dan tiga gangsa kepada kontinjen negara.

Winnie berkata sebagai persediaan agar skuad yang ada kini lebih kompetitif, PWM menghantar mereka ke Fuzhou, China bagi menjalani latihan selama 45 hari.

"Mereka berlepas ke China, semalam. Latihan di Fuzhou penting kerana secara keseluruhan, skuad wushu akan diwakili skuad pelapis jadi di sana mereka berupaya mendapat pendedahan awal saingan bertaraf antarabangsa," katanya.

Latihan selama satu setengah bulan di China itu bukan sahaja sebagai persediaan ke Sukan SEA tetapi juga bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Izmir, Turki bulan depan, katanya.

Winnie berkata di Indonesia, skuad negara yang dianggotai 15 atlet akan beraksi dalam dua acara utama iaitu Taolo dan Shen Quan.

Mengulas prestasi atlet pelapis dan elit ketika ini, Winnie berkata walaupun wushu kekurangan kejohanan antarabangsa, skuad negara sentiasa menunjukkan prestasi memuaskan.

"PWM menjalankan cara latihan berbeza, di mana atlet pelapis dan elit akan digabungkan bersama ketika sesi latihan.

"Setakat ini kami mempunyai lapan atlet pelapis dan empat daripadanya dilihat mampu menuai pingat di kejohanan di Turki dan Indonesia," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain