suria

Piala Monsun Terengganu Perlu Beri Perhatian Aspek Pengunjung, Penajaan

PUTRAJAYA: Kejohanan Piala Monsun yang dijalankan di Pulau Duyung, Terengganu pada setiap tahun sejak 2008, perlu diperbaiki daripada aspek sasaran pengunjung dan kebergantungan acara itu pada kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kehadiran pengunjung pada hari akhir, iaitu hari pusingan akhir perlumbaan berlangsung, kurang memuaskan berbanding hari-hari sebelum itu yang turut dianjurkan pelbagai acara sampingan untuk menarik orang ramai.

"Ini mungkin disebabkan masih ramai yang tidak memahami bagaimana sesuatu perlumbaan pelayaran berjalan, berbanding Formula One atau perlawanan bola sepak, menyebabkan mereka kurang berminat untuk menonton.

"Oleh sebab itu pihak penganjur perlu mencari jalan untuk menarik perhatian 'komuniti pelayaran' seperti persatuan-persatuan atau peminat sukan ini untuk turun memberi sokongan," katanya pada sidang media mengenai pencapaian Piala Monsun 2010 di pejabat beliau di sini, Selasa.

Turut hadir Pengerusi Piala Monsun Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Penasihat Datuk Peter Gilmore. Selain itu, Ahmad Shabery berkata pihak penganjur perlu mencari jalan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan dan menjadikan acara itu 'self-sustained'.

Beliau berkata setiap tahun kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM20 juta untuk penganjuran Piala Monsun berbanding sumbangan pihak penaja yang hanya RM7 juta.

"Monsoon Cup mencatatkan pencapaian ROI (pulangan pelaburan) yang tinggi setiap tahun, sepatutnya penganjur tak perlu lagi bantuan kerajaan dan boleh mencari jalan untuk menjadikan ia 'self-sustained' dengan menarik perhatian penaja," katanya.

Tahun lepas kejohanan itu mencapai pulangan pelaburan (ROI) dari segi nilai media sebanyak 31 kali ganda iaitu meliputi RM46,365,832 nilai media tempatan, manakala media televisyen mencapai RM411.1 juta.

Perlumbaan kapal layar bertaraf dunia itu turut disiarkan ke 176 negara melalui 19 siaran antaranya ESPN, STAR Sports, Sail TV, Eurosports, FOX Sports dan SKY Sports.

"Pihak penaja sepatutnya mengambil peluang ini untuk mengiklankan jenama mereka pada kapal-kapal layar yang bertanding," kata Ahmad Shabery. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain