suria

Angie mahu jadi jurulatih selepas bersara

Angela Kais. - Foto THE STAR Oleh LOW BOON TAT
Angela Kais. - Foto THE STAR Oleh LOW BOON TAT
Angela Kais. - Foto THE STAR Oleh LOW BOON TAT

SEBELUM menggantung but, wanita kelahiran Sarawak ini ingin membuktikan bahawa sukan bola sepak wanita juga penting seperti mana pasukan lelaki. Hampir 11 tahun tanpa erti mengalah, Angela Kais tetap meneruskan perjuangan dalam meningkatkan lagi mutu bola sepak wanita negara.

Angela atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Angie mula aktif bermain bola sepak sejak menganggotai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2000 dan bermula di situ, dia mula serius bermain sehingga mewakili pasukan kebangsaan.

“Saya mula menyarung jersi Malaysia ketika beraksi di Sukan Sea di Korat, Thailand pada 2007. Pada tahun yang sama juga, saya turut menyertai Kejohanan Piala AFF yang menyaksikan skuad kebangsaan berjaya layak ke pusingan separuh akhir.

“Saya sememangnya suka dengan sukan bola sepak kerana ia memberi cabaran tersendiri bukan sahaja dari segi fizikal, malah mental juga perlu kuat,” jelasnya kepada Mingguan mStar.

Angie berkata, sukan bola sepak bukan hanya untuk golongan lelaki sahaja kerana aksi wanita telah lama berkembang di negara lain, cuma di Malaysia ia agak perlahan pembangunannya kerana penerimaan masyarakat tempatan yang lebih cenderung menganggap acara ini tidak sesuai untuk perempuan.

“Jika dulu amat sukar untuk melihat wanita bermain bola sepak, tetapi kini keadaan itu sudah berubah sedikit demi sedikit. Mungkin dalam tempoh tertentu nanti, kita boleh lihat acara ini boleh menjadi aktiviti tetap di peringkat sekolah.

“Bagi saya apa sahaja jenis sukan yang diceburi mempunyai kelebihan masing-masing. Acara bola sepak wanita mungkin dirasakan terpinggir kerana kurang pendedahan seperti mana yang dilakukan kepada pasukan lelaki.

“Pun begitu, saya rasakan ia boleh diatasi sekiranya ada program jangka masa panjang dilaksanakan di peringkat akar umbi,” kata bekas kapten kebangsaan ini.

Menurut anak kelima daripada tujuh orang adik-beradik ini, walaupun sukan bola sepak wanita gagal memberi keputusan yang baik seperti pasukan lelaki, Angie tidak pernah kecewa, jauh sekali berputus asa untuk meninggalkan sukan ini walaupun pasukan kebangsaan pernah digantung daripada sebarang aksi kerana persembahan buruk pada Sukan Sea di Laos 2009.

Selepas hampir dua tahun tanpa sebarang kejohanan, kini acara bola sepak diberi nafas baru oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk kembali aktif dan memberi ruang kepada peminat-peminat bola sepak wanita mempamerkan kebolehan masing-masing.

“Saya sangat gembira dengan keputusan FAM untuk membentuk kembali acara bola sepak wanita dan ini satu peluang yang baik bagi bola sepak negara. Cuma saya harap program yang akan diaturkan nanti akan terus dilaksanakan dan bukan separuh jalan,” katanya yang turut beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Wanita Kebangsaan yang berakhir Sabtu.

Sementara itu Angie yang turut aktif bermain hoki dan futsal berkata, sekiranya dia kembali terpilih menyarung jersi negara tahun ini, dia bertekad untuk turut membantu pasukan mencatat keputusan yang baik pada satu kejohanan di Laos Oktober ini.

“Ini mungkin tahun terakhir saya bermain bola sepak kerana selepas ini saya akan menumpukan perhatian dalam bidang kejurulatihan. Dan sebab itulah saya bertekad untuk melakukan yang terbaik dan mengharumkan nama pasukan bola sepak Malaysia dalam kejohanan yang disertai nanti.

“Selepas bersara daripada beraksi, saya merancang untuk menjadi jurulatih bagi pasukan wanita kerana buat masa sekarang posisi itu agak terhad. Dengan pengalaman yang saya ada selama ini, saya yakin ia sedikit sebanyak boleh membantu perkembangan sukan ini,” katanya.

Selain itu Angie berkata, sesuatu acara sukan itu tidak akan berjaya sekiranya tanpa sokongan daripada pelbagai pihak dan baginya jika ingin melihat ia berjaya, ia perancangan awal perlu dilaksanakan segera.

“Saya akui bukan mudah untuk menaikkan acara bola sepak kerana pelbagai faktor. Tetapi di sebalik itu, saya percaya ia mampu dilaksanakan sekiranya semua pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah,kelab atau penaja berganding bahu bersama memberi sokongan.

“Namun apa yang paling penting penyusunan program asas perlu diperkemaskan,” katanya.

Artikel Lain