suria

Walaupun Tewas, Sokongan Padu Penyokong Perlu Diteruskan: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya telah menunjukkan corak permainan yang baik walaupun tewas dengan agregat 6-4 pada perlawanan timbal balik Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Khamis, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada perlawanan itu, Malaysia hanya mampu seri 1-1 dengan Singapura dan jaringan tunggal Malaysia dihasilkan Mohd Safee Sali pada minit ke-57.

"Walaupun tewas, pemain-pemain Malaysia telah memberikan tentangan yang baik terhadap pemain-pemain Singapura. Perlawanan malam ini adalah sesuatu yang mengujakan," katanya ketika diminta mengulas mengenai perlawanan itu.

Pada perlawanan malam Khamis, Muhyiddin dan beberapa menteri kabinet meluangkan masa bersama-sama lebih 85,000 peminat bola sepak tempatan menyaksikan perlawanan Malaysia-Singapura itu.

Turut menyaksikan perlawanan timbal balik itu ialah Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan timbalannya, Datuk Razali Ibrahim.

"Dengan stadium yang padat (dengan penonton), ia memberi petanda baik kepada perkembangan arena bola sepak. Sokongan padu peminat diharap dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan sukan bola sepak Malaysia," katanya.

Muhyiddin berharap para penyokong akan sentiasa memberikan sokongan padu mereka pada masa depan.

Tengku Abdullah yang tidak dapat menahan kekecewaan dan enggan mengulas pada awalnya berkata skuad kebangsaan mempamerkan pemainan yang baik tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

"Sedih, memang sedih. Mereka telah cuba sedaya upaya tetapi malangnya kemenangan tidak memihak kepada kita. Kita perlu akui yang kita kurang berpengalaman (dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia).

"Namun, kita telah cuba bermain dengan baik. Jaringan gol yang kita kehendaki tidak dapat. Kita kena teruskan beri keyakinan kepada pasukan ini dan beri peluang lagi kepada mereka. Mungkin mereka akan bawa kejayaan lagi pada masa akan datang," kata Tengku Abdullah, sambil kelihatan mengesat air matanya.

Bagi Hishammuddin, beliau terkilan skuad Harimau Malaya gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia.

"Rasa ralat sangat bila kita tidak layak walaupun telah pamerkan permainan yang baik. Saya dapat saksikan adanya peningkatan dalam arena bola sepak negara," katanya.

Ahmad Shabery menyifatkan perlawanan itu bukanlah satu noktah perjuangan dalam bola sepak negara tetapi ia adalah suatu titik permulaan.

"Skuad Malaysia menunjukkan semangat juang yang baik. Saya sangat berpuas hati dengan semangat yang dipamerkan. Ia adalah kebangkitan kepada arena bola sepak kita," katanya.

Beliau turut berharap penyokong-penyokong tidak berputus asa untuk terus memberikan sokongan dan terus menjadi tunggak semangat kepada pemain. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain