suria

Piala Razak (Hoki): KL, Pahang Berentap Pada Perlawanan Akhir Khamis

MELAKA: Juara bertahan Kuala Lumpur akan menentang Pahang pada perlawanan akhir Divisyen 1 Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-49 di di Stadium Hoki, Bukit Serindit, di sini, Khamis.

Pada saingan separuh akhir Rabu, Kuala Lumpur mengatasi Terengganu 2-1 manakala Pahang mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1.

Dalam pada itu, Terengganu, naib juara Kumpulan B, melakukan kejutan apabila membuka jaringan menerusi hasil pukulan sudut penalti oleh penyerang kebangsaan, Mohd Faizal Shaari, pada minit ke-26.

Mohd Faizal yang kini bermain di Liga Australia dan kembali ke tanah air khusus untuk kejohanan ini, mudah menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Abdul Hakim Adnan dengan melakukan lambungan tinggi ke penjuru kanan gawang gol.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus tetapi hanya dinafikan oleh penjaga gol Terengganu, Mohd Hafizuddin, yang bertindak cemerlang.

Malahan, beliau bertindak tangkas menyelamatkan percubaan kuis penalti oleh Muhammad Amin Rahim pada minit ke-30. Namun serangan bertalu Kuala Lumpur akhirnya membuahkan hasil menerusi jaringan padang oleh pemain kebangsaan Nabil Fiqri Mohd Noor pada minit ke-33.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Muhammad Amin muncul wira pasukan Kuala Lumpur apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-57 dengan melakukan tolakan ke kiri penjuru gol hasil pukul sudut penalti.

Pada perlawanan separuh akhir kedua, Pahang mendahului 2-0 menerusi jaringan Ahmad Kazmirul Nasaruddin pada minit kesembilan dan Muhamad Hafiz Zainul pada minit ke-17.

Bagaimanapun, ATM merapatkan jurang jaringan menerusi Ahmad Ridzuan Zainal Abidin pada minit ke-28 sebelum pemain muda berpotensi, Mohd Aminuddin Abu melebarkan kedudukan selesa untuk pasukan pantai timur itu. Jurulatih Pahang, Mohamad Yazid Mohd Yunus berkata pasukannya berazam untuk menjuarai kejohanan itu buat pertama kali dalam sejarah kejohanan itu.

"Ini adalah final pertama kami selepas 1997 dan kebetulan saya turut bermain dalam perlawanan itu juga menentang Kuala Lumpur di mana kami tewas," katanya.

Sementara itu, bagi perlawanan Divisyen 2, Selangor dan Negeri Sembilan akan berentap menentukan kejuaraan esok setelah menewaskan lawan pada peringkat separuh akhir.

Selangor menundukkan Kedah 3-1 manakala Negeri Sembilan ditentang hebat oleh Perlis sebelum menungguli dengan jaringan 3-2. - BERNAMA

Artikel Lain