suria

PDRM Sedia Hadapi Skuad KL

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganggap pertemuan dengan pasukan Kuala Lumpur (KL) pada saingan separuh akhir Karnival Kejohanan Bola Sepak Wanita Kebangsaan di Universiti Malaya Khamis ini sebagai satu perlawanan sengit.

Jurulatih pasukan, Anuar Udin berkata, pasukan KL antara cabaran utama bagi kejohanan ini dan jika tersilap percaturan, pasukannya akan tersingkir.

“Selepas perlawanan peringkat kumpulan, saya sudah melihat beberapa perkara yang perlu ditekankan dan yakin pasukan akan lebih baik menjelang perlawanan separuh akhir esok (Khamis).

“Skuad KL bukan calang-calang pasukan kerana turut dibarisi pemain-pemain kebangsaan dan sedar mereka juga ingin layak ke aksi final. Jadi sudah tentu perlawanan dijangka sengit.

“Saya harap pemain-pemain akan mempamerkan aksi yang baik walaupun pada perlawanan persahabatan sebelum ini kami tewas 2-1 kepada pasukan itu,” katanya kepada mStar Online, Rabu.

PDRM dilihat sebagai pasukan pilihan untuk bergelar juara selepas menjadi juara peringkat kumpulan dengan menewaskan pasukan Kedah 3-1, Perlis, 5-0 manakala mengalahkan pasukan Pahang 9-0.

Pasukan ini juga turut diperkuatkan oleh empat pemain kebangsaan termasuk bekas kapten negara, Angela Kais.

Selain itu Anuar berkata, karnival seperti ini memberi harapan baru kepada sukan bola sepak wanita yang sebelum ini dilihat suram tanpa sebarang aktiviti.

“Saya harap aktiviti atau program seperti ini akan berterusan dan percaya jika diberi peluang, kita mampu membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang baik seperti negara-negara lain,” katanya.

Sebanyak lapan pasukan mengambil bahagian pada kejohanan ini termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kedah, Perlis, KL, Pahang, Sabah,PDRM dan Negeri Sembilan.

Artikel Lain