suria

212 Atlet Mahasiswa Sertai Kem Latihan Pusat Pada Khamis

KUALA LUMPUR: Seramai 212 atlet negara, yang bakal beraksi pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) di Shenzen, China, akan menyertai kem latihan pusat 18 hari di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia mulaiKhamis.

Penyelaras media kontinjen negara Nur Ekmal Buhary berkata kem itu adalah sebagai persiapan akhir skuad negara sebelum berangkat ke Shenzen pada 6 Ogos ini.

"Sepanjang kem berlangsung, semua atlet akan menjalani latihan pada waktu petang manakala pada sebelah malam mereka akan diberi taklimat kejohanan. Atlet Islam akan diberi taklimat khusus bagi menjalani ibadah puasa ketika beraksi di sana nanti nanti," katanya, Rabu.

Beliau berkata atlet juga akan diberi suntikan vaksin Influenza A H1N1 sebelum berangkat ke Shenzen.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam 13 jenis sukan iaitu renang, terjun, badminton, catur, berbasikal, bola sepak, gimnastik, golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan taekwondo.

Pencapaian terbaik atlet Malaysia pada temasya Universiade ialah di Bangkok, Thailand pada 2007 melalui Chee Chew Chan yang memenangi pingat perak dalam acara taekwondo.-BERNAMA

Artikel Lain