suria

Nicol Rangkul Kejuaraan Terbuka Malaysia Kali Ketujuh

PETALING JAYA: Ratu skuasy negara dan pemain No.1 dunia Datuk Nicol Ann David pada Sabtu merangkul kejuaraan Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2011 di pusat membeli-belah The Curve di Mutiara Daamansara di sini.

Ia merupakan kejuaraan kali ketujuh yang dimenanginya sejak 2005.

Nicol mengalahkan pemain England, Jenny Duncalf straight set 11-6, 12-10 dan 11-5 dalam masa 42 minit.

Beliau menggondol USD11,400 (RM33,926.40) dan trofi sementara Jenny menerima USD7,800 (RM23,212,80).

"Tidak diragui dia (Jenny) selalu bermain baik dan pada masa yang sama saya terpaksa bermain lebih baik. Saya dapat menumpukan fokus saya hari ini dan sangat gembira dengan persembahan saya," kata Nicol yang akan mencapai usia 28 tahun bulan depan.

Selepas ini Nicol akan menyertai pula Kejohanan Masters Singapura dari 25 hingga 30 Julai dan Terbuka Australia dari 9 hingga 14 Ogos.

"Saya sedang menanti kejohanan Masters Singapura. Namun kini saya mahu meraikan kejayaan ini sebelum menumpukan kejohanan seterusnya. Ia merupakan kejuaraan Siri Dunia kedua saya," katanya.

Beliau sebelum ini memenangi Siri Dunia Wispa di Terbuka Kepulauan Cayman pada 9 April juga mengalahkan Jenny 3-1.

Terdahulu dalam acara akhir lelaki, pemain Peranchis, Gregory Gaultier muncul juara buat kali pertama menewaskan pemain Pakistan, Aamir Atlas Khan straight set 11-8, 11-3 dan 11-3 dalam masa 43 minit.

Gregory memperolehi USD8,075 (RM24,031.20) sementara Aamir menerima USD5,525 (RM16,442.40).- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain