suria

Malaysia Tewas 3-5 Kepada Singapura

SINGAPURA: Malaysia terpaksa bekerja keras pada perlawanan timbal balik nanti setelah tewas 3-5 kepada Singapura dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 bagi zon Asia di Stadium Jalan Besar di sini malam Sabtu.

Pasukan Harimau Malaya seakan-akan melangkah dengan gahnya apabila penyerang Mohd Safee Mohd Sali berjaya menjaringkan gol hanya dalam tempoh 24 saat selepas perlawanan bermula.

Namun pemain Singa Singapura Aleksandar Duric menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti Malaysia pada minit ke-7 untuk Singapura menyamakan kedudukan 1-1.

Pasukan Malaysia cuba menyerang namun pertahanan Singapura dapat menangkis serangan demi serangan yang dilakukan oleh Harimau Malaya.

Bayangan penyerang Shi Jiayi sering mengucar-kacirkan pertahanan Harimau Malaya.

Singapura memperolehi satu lagi sepakan percuma pada minit ke-21 apabila ketua pasukannya Sharil Ishak dijatuhkan di luar kotak penalti Malaysia yang sepakannya disempurnakan oleh Qiu Li.

Mustafic Fahrudin menjaringkan gol ketiga Singapura pada minit ke-43 manakala Shi Jiayi menjaringkan gol keempat pada minit ke-45.

Malaysia terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila ketua pasukan Shafiq Rahim dilayangkan kad merah kerana mengasari Qiu Li pada minit ke-50.

Namun ia tidak menyekat semangat pemain Malaysia untuk terus menghasilkan gol apabila Abdul Hadi Yahaya dan Safee Sali masing-masing menjaringkan gol kedua dan ketiga pada minit ke-68 dan ke-69 bagi merapatkan jurang gol.

Namun Duric menghasilkan gol kelima Singapura pada minit ke-80 bagi memberikan kemenangan Singapura 5-3 ke atas Malaysia.

Senarai Pemain

Malaysia: Mohd Sharbinee Allawee, Mahalli Jasuli, Mohd Asraruddin Omar, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Mohd Shas, Shariq Rahim, Ismail Faruqi Ashari (Mohd Amirulhadi Zainal), Mohd Safee Sali (Izaq Faris Ramlan), Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani (Abdul Hadi Yahaya), Kunanlan Subramaniam.

Singapura: Mohamad Izwan Mahbud, Muhamad Safuwan Baharudin, Shi Jiayi, Alexsandar Duric, Qiu Li (Fazrul Nawaz Shahul Hameed), Hariss Harun, Mustafic Fahrudin, Daniel Bennet, Shahril Ishak (Shahdan Sulaiman), Ismail Yunos, Juma'at Jantan (Shaiful). Pengadil: Nawaf Shukralla (Bahrain).- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain