suria

Harimau Malaya Hilang Arah Dalam Separuh Masa Pertama:Rajagobal

SINGAPURA: Harimau Malaya hilang arah di separuh masa pertama dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zona Asia di Stadium Jalan Besar di sini malam Sabtu.

"Mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan. Tetapi di separuh masa kedua mereka kembali secara agresif," kata ketua jurulatih pasukan kebangsaan Datuk K. Rajagobal dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Beliau berkata pemain Singapura terutama Aleksander Duric, Qiu Li dan Shi Jiayi menyukarkan pemain Malaysia, menyebakan Harimau Malaya ketinggalan 1-4 di separuh masa pertama.

Walaupun bermain lebih agresif di separuh masa kedua dan menyumbat dua lagi gol, pasukan negara akhirnya kalah 3-5 dengan gol kelima Singapura dijaringkan oleh Duric.

Mengenai perlawanan timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 8 Julai ini, Rajagobal tetap optimis pasukannya berpeluang untuk mara ke peringkat seterusnya.

Beliau berkata beliau merasa positif dengan pasukannya walaupun permainan malam ini tidak mengujakannya.

Penyerang Mohd Safee Sali juga mengaku beliau dan rakan-rakannya tidak bermain mengikut rentak di separuh masa pertama tetapi bermain lebih baik di separuh masa kedua.

Beliau juga optimis tentang peluang Harimau Malaya di perlawanan kedua nanti.

Jurulatih Singapura, Radojko Avramovic teruja dan berpuas hati dengan persembahan para pemainnya.

Kedua-dua pasukan bermain bersungguh-sungguh untuk mencipta kemenangan, katanya.

Beliau berkata di separuh masa kedua, pasukannya tidak begitu fokus tetapi dapat mengelak sebarang kesilapan berhampiran atau di dalam kawasan kotak penalti.

Avramovic yakin dalam perlawanan di Bukit Jalil nanti, pasukannya beroleh kemenangan dan mara ke pusingan kelayakan seterusnya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain