suria

Sepak Takraw (Piala Dunia Istaf 2011): Malaysia Mara Mudah Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Seperti diramalkan, skuad lelaki negara menghadapi laluan mudah untuk mara ke peringkat suku akhir setelah menumpaskan Taiwan 3-0 pada perlawanan pusingan kedua Kejohanan Sepak Takraw Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2001 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Ahad.

Trio Malaysia yang dibarisi Norshahruddin Mad Ghani, Noor Azman Abdul Hamid dan Farhan Adam memenangi set pertama dengan mata 15-6 dalam masa 10 minit.

Tidak ingin menunggu lama bagi terus mencari kemenangan pada set kedua anak didik jurulatih Jamaluddin Hassan menamatkan perlawanan dengan mata 15-2 dalam masa sembilan minit.

Asakan yang dilakukan oleh trio Taiwan yang dibarisi oleh Jan Yu Ting , Teng Sheng Han dan Chen Lai Fu gagal menghalang kemaraan skuad negara yang berjaya memperoleh mata penyudah 15-5 dalam masa 10 minit.

Dengan kejayaan tersebut Malaysia akan bertemu Filipina pada perlawanan suku akhir kategori lelaki yang akan berlangsung petang ini. – BERNAMA

Artikel Lain