suria

Jurulatih Tempatan Yakin Malaysia Akan Tewaskan Singapura

KUALA LUMPUR: Beberapa jurulatih bola sepak tempatan yakin pasukan kebangsaan mampu mengatasi Singapura pada pertembungan pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar di Singapura Sabtu ini.

Bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan, berkata Malaysia kini mempunyai reputasi tersendiri selaku juara Asean dan mampu menewaskan pasukan dari seberang tambak itu.

"Barisan pemain muda dalam pasukan Malaysia telah terbukti beraksi dengan cukup baik hingga mampu menjuarai Piala Suzuki (AFF) 2010. Reputasi sebagai juara itu sendiri sudah mampu menggerunkan Singapura.

"Saya membimbing Malaysia pada perlawanan persahabatan menentang Singapura pada November 2008 dan pada perlawanan itu kita seri 2-2. Jika dilihat dalam pasukan Singapura sekarang, masih ada pemain yang sama dalam pasukan itu.

"Jadi tidak mustahil Harimau Malaya mampu menang pada pertemuan kali ini dengan barisan pemain dan jurulatih baru (Datuk K.Rajagobal)," katanya, Rabu.

Beliau berkata pasukan Singapura sekarang tidak sama dengan pasukan yang menang kejohanan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2007 dan percaya Rajagobal mempunyai ramuan untuk memenangi perlawanan Sabtu ini.

Sathianathan menjadi ketua jurulatih kebangsaan dari 2007 hingga 2009 sebelum diganti oleh Rajagobal.

Jurulatih Negeri Sembilan, Azrai Khor Abdullah, berkata perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang Arsenal dan Liverpool sangat baik sebagai persediaan pasukan sebelum beraksi di Singapura nanti.

"Kita tidak boleh guna keputusan perlawanan tersebut sebagai tanda aras prestasi pasukan kebangsaan. Kelab tersebut berada pada tahap yang berlainan ... yang penting ialah kelemahan Harimau Malaya telah dapat dilihat dan diperbetulkan sebelum perlawanan Sabtu ini," katanya.

Memuji prestasi yang ditunjukkan Safiq Rahim dan S.Kunalan, Azrai berkata persefahaman barisan pemain negara semakin baik ditambah pula prestasi kemuncak penyerang Safee Sali menguatkan lagi peluang Malaysia untuk menang.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, juga yakin Malaysia akan menang.

"Pemain dalam skuad kali ini sangat bagus dan pantas...kita tengok bagaimana aksi mereka dalam perlawanan dengan Arsenal dan Liverpool. Ini adalah senjata utama kekuatan Malaysia.

"Saya tidak risau dengan bahagian tengah dan penyerang kerana aksi permainanan mereka semakin baik. Bagaimanapun bahagian pertahanan diharap mampu mengurangkan kesilapan mudah seperti yang berlaku dalam dua perlawanan itu," katanya.

Dollah berkata beliau sudah lama tidak melihat pasukan kebangsaan beraksi dengan begitu baik sekali dan percaya Rajagobal mempunyai strategi untuk menghadapi Singapura.

Malaysia mara ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia walaupun kalah 2-3 kepada Taiwan pada perlawanan kedua, tetapi layak ke pusingan seterusnya dengan peraturan gol di tempat lawan selepas terikat agregat 4-4.

Malaysia menewaskan Taiwan 2-1 pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Singapura yang mendapat bye di pusingan pertama selepas mara ke pusingan ketiga kejohanan Kelayakan Piala Dunia 2007 di Afrika Selatan.-BERNAMA

Artikel Lain